lokman.khairi@hmetro.com.my
Kajang: Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama Nestlé Malaysia meneruskan misi membawa keceriaan kepada golongan asnaf sekitar kawasan Semenyih di sini menerusi Kotak Rezeki Dari Hati sempena menyambut Ramadan dan Aidilfitri.
Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit berkata, sebanyak 275 Kotak Rezeki yang mengandungi produk berkhasiat Nestlé diagihkan kepada empat masjid dan sebuah surau di sekitar Semenyih.
“Sejajar dengan tema kempen Ramadan Raya Media Prima tahun ini iaitu ‘Sama-sama Berkat’, kami di Harian Metro sekali lagi berganding bahu dengan Nestlé Malaysia bagi tahun kedua berturut-turut.
“Misi kami menerusi ‘Kotak Rezeki Dari Hati’ ini ringkas, kami ingin berkongsi rezeki dan membawa sedikit keceriaan kepada golongan asnaf memerlukan dalam menyambut bulan Ramadan pada tahun ini.
“Kami berharap produk keluaran Nestlé seperti MILO, NESCAFÉ dan sebagainya yang sudah sinonim dengan citarasa rakyat Malaysia dapat meringankan sedikit beban serta memberi kemudahan buat ahli keluarga di rumah,” katanya pada Program TKHM bersama Nestlé di Masjid Kampung Batu 3, di sini, semalam.
Turut hadir, Nazir Masjid Kampung Batu 3, Ismail Ibrahim dan Pengarang Berita Kanan Harian Metro merangkap Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Ab Aziz.
Sementara itu, Ismail berkata program berkenaan amat bermakna khususnya kepada golongan memerlukan di kawasan itu.
“Alhamdulillah program hari ini sangat baik kerana ada pihak yang prihatin seperti Harian Metro dan Nestlé membantu golongan kurang berkemampuan untuk menyambut Syawal yang akan datang.
“Lebih-lebih lagi di kampung ini ramai ibu tunggal dan anak yatim, jadi sumbangan seperti ini sedikit sebanyak membantu mereka menyambut Aidilfitri dengan lebih gembira,” katanya.
Bilal Surau Ihsaniah, Abdul Jalil Maryuti berkata, program berkenaan dilihat mampu menggembirakan penerima khususnya menjelang Aidilfitri.
“Bantuan seperti ini sangat baik kerana sekurang-kurangnya dapat menggembirakan mereka yang memerlukan untuk menyambut Hari Raya nanti.
“Bagi saya ini kali pertama program seperti ini diadakan di kawasan kami dan saya harap ia dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Seorang penerima, Nurul Najua Sawadi, 34, pula bersyukur apabila bantuan diterima dapat membantu meringankan sedikit perbelanjaan keluarganya menjelang Aidilfitri.
“Alhamdulillah bantuan ini dapat membantu sedikit untuk persiapan raya kerana masih banyak keperluan lain yang perlu disediakan.
“Sebelum ini kami tidak pernah menerima bantuan seperti ini, tetapi tahun ini Alhamdulillah banyak bantuan diterima khususnya untuk anak-anak yatim,” katanya yang mempunyai dua orang anak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




