Sama-sama selesai masalah air, elektrik di Sabah

Sama-sama selesai masalah air, elektrik di Sabah

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Pemimpin di Sabah digesa supaya bersatu hati membantu rakyat dengan sama-sama mencari langkah menyelesaikan isu air, elektrik dan jalan raya yang dihadapi negeri ini.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, berkata, semua pihak tidak seharusnya menuding jari mencari siapa yang salah berikutan timbulnya isu itu.

Katanya, tumpuan kini perlu diberikan kepada usaha untuk mengatasi isu yang menimbulkan ketidakselesaan rakyat itu, termasuk bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan.

“Kita perlu hentikan ini (tuding-menuding). Pada masa ini kita sepatutnya mengumpulkan segala sumber dan tenaga untuk membantu rakyat seperti dalam isu air dan elektrik ini.

“Sebab itu wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) Sabah baru-baru ini mengadakan sesi perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta beliau menyediakan peruntukan tambahan yang besar kepada Sabah untuk menyelesaikan masalah air, elektrik dan jalan raya.

“Jadi saya memilih untuk mencari penyelesaian dan saya bawa rakan dalam PH Sabah untuk berjumpa Perdana Menteri, bukan tuding-menuding kerana ia tidak menyelesaikan masalah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yayasan Bank Rakyat kepada sekolah di Parlimen Penampang, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai mengenai sikap pemimpin pembangkang yang menyalahkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berikutan isu air dan elektrik di Sabah.

Joniston dilaporkan berkata, tindakan pembangkang itu lebih bermotifkan politik, berbanding membantu menyelesaikan isu yang pembangkang sendiri pernah berhadapan ketika mereka menjadi kerajaan sebelum ini.

Sementara itu, Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, berkata apa yang diperlukan di Sabah ketika ini ialah peruntukan lebih besar untuk menyelesaikan isu air, elektrik dan jalan raya.

“Apa yang kita perlukan ialah peruntukan, bukan soal siapa silap atau benar. Rakyat perlukan kepemimpinan yang kuat dan tegas yang boleh mencari penyelesaian,” katanya.

Katanya, beliau percaya Perdana Menteri akan mengumumkan sesuatu yang baik berhubung usaha menyelesaikan isu air, elektrik dan jalan raya yang dihadapi di Sabah dalam lawatannya ke negeri ini tidak lama lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top