Saman fitnah: RM 2 juta terlalu tinggi, hakim arah MP Kepong hanya bayar RM75,000

Saman fitnah: RM 2 juta terlalu tinggi, hakim arah MP Kepong hanya bayar RM75,000

Putrajaya: Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng hari ini diperintahkan membayar ganti rugi sebanyak RM75,000 sahaja berbanding jumlah asal RM2 juta kepada MonSpace (M) Sdn Bhd dan pengasasnya, Datuk Seri Jessy Lai Cha Suang, dalam kes saman fitnah.

Bagaimanapun, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Faizah Jamaludin, secara sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Lim telah memfitnah kedua-dua responden.

Ketika menyampaikan keputusan itu, Sequerah berkata jumlah ganti rugi sebanyak RM2 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur adalah keterlaluan.

Panel itu turut mengurangkan jumlah kos yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes berkenaan iaitu daripada RM250,000 kepada RM50,000.

Pada 16 Mac 2023, Mahkamah Tinggi telah memerintahkan Lim membayar ganti rugi sebanyak RM2 juta kepada syarikat e-dagang itu dan Lai selepas membenarkan saman fitnah mereka terhadap beliau.

Lim telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu pada hari yang sama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top