am@hmetro.com.my
Tawau: Plaintif keempat dalam saman sivil RM190 juta membabitkan tujuh bekas pegawai Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) mendakwa keluarganya berdepan masalah kewangan serius selepas penahanannya menyebabkan gaji serta elaunnya terjejas, selain terpaksa menanggung kos guaman bagi kes jenayah yang dihadapinya.
Sarjan Fabian Anak Rungan berkata keadaan kewangan keluarganya sebelum itu tidak berada pada tahap keterhutangan serius, namun berubah selepas beliau ditahan dan tidak menerima gaji serta elaun penuh seperti sebelumnya.
Beliau yang juga saksi kesembilan plaintif, berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh peguamnya, Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon, pada perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Beliau berkata, isterinya, Angeline anak Ayine, terpaksa membuat pinjaman bagi membantu membayar kos guaman serta menampung keperluan mereka ketika beliau ditahan.
Fabian dilihat sebak dan menitiskan air mata ketika memberikan penjelasan berhubung keadaan kewangan keluarganya sebelum peguam memberinya tisu serta sedikit ruang untuk bertenang.
Terdahulu ketika disoal balas Peguam Kanan Persekutuan (SFC), Mardziatun Nisa Ahamadul Kaber, Fabian mengakui perjanjian yuran guaman RM80,000 bagi kes jenayahnya ditandatangani isterinya yang bukan plaintif dalam saman berkenaan.
Beliau turut bersetuju pembayaran yuran guaman itu dibuat daripada akaun atau simpanan isterinya serta hasil penjualan kenderaan wanita berkenaan.
Bagaimanapun, Fabian tidak bersetuju dengan cadangan bahawa beliau tidak mengalami kerugian kewangan secara langsung dan tidak berhak menuntut ganti rugi khas terhadap wang yang dikeluarkan isterinya.
Beliau turut menolak cadangan bahawa keseluruhan tuntutan ganti rugi khas RM521,093.15 adalah terlalu jauh kaitannya, tidak terbukti dan wajar ditolak mahkamah.
Ketika disoal mengenai tekanan dan kebimbangan emosi yang dialaminya, Fabian bersetuju bahawa keluarganya berdepan krisis kewangan, beban hutang pinjaman isterinya serta ancaman tindakan undang-undang bank.
Namun, beliau tidak bersetuju dengan cadangan bahawa tekanan berkenaan berpunca daripada saman bank, hutang peribadi, pertuduhan tatatertib serta pertukaran tempat bertugas dan bukannya akibat langsung penahanannya pada 2023.
Mahkamah turut diberitahu Fabian menuntut RM20 juta sebagai ganti rugi am bagi penderitaan emosi dan mental, tekanan fizikal, fitnah serta kerosakan reputasi, selain ganti rugi khas RM521,093.15 bagi kerugian kewangan yang didakwanya alami.
Dalam isu berasingan, Fabian bersetuju dari segi proses bahawa tindakan pentadbiran, pertukaran tugas dan prosiding tatatertib adalah urusan pentadbiran PDRM yang sah, namun ketika pemeriksaan semula menjelaskan beliau tidak bersetuju tindakan itu dalam kesnya tidak memberi kesan terhadap dirinya.
Katanya, pertukarannya ke kontinjen lain memberi tekanan kewangan, sedangkan tiga permohonan terdahulu untuk ditukarkan ke negeri kelahirannya di Sarawak ditolak.
Fabian turut mengakui lima kenderaan yang menjadi subjek tindakan tatatertib terhadapnya pernah didaftarkan atas namanya dan tidak diisytiharkan dalam sistem HRMIS, selain bersetuju kenderaan itu dimilikinya sebelum kejadian yang menjadi asas saman berkenaan.
Plaintif diwakili dua pasukan peguam iaitu Messrs Lincon & Co serta Messrs Chang & Kamarudin.
Pasukan Messrs Lincon & Co diwakili Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon, Rasrina Patrick T Rining dan Fadzidahtul Ardianah, bersama Zahbia Ophent dan Noor Iliena Rahayu Ibrahim manakala Messrs Chang & Kamarudin diwakili Kamarudin Mohmad Chinki, bersama Datuk Ram Singh, Chen Wen Jye dan Prabjit Singh.
© New Straits Times Press (M) Bhd




