'Saman tetap samanlah' – Loke tegur KDEBWM

'Saman tetap samanlah' – Loke tegur KDEBWM

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: KDEB Waste Management (KDEBWM) bertanggungjawab untuk menguruskan pemandu lorinya yang didakwa menyembunyikan notis saman sehingga menyebabkan tunggakan yang tinggi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, permit kenderaan dikeluarkan kepada KDEB sebagai sebuah syarikat, dan bukannya kepada pemandu secara individu.

“Yang pertamanya, saman itu tetap samanlah. Saya rasa mereka perlu menguruskan kaedah bersama dengan pemandu.

“Bagi kita, sebab permit itu dikeluarkan kepada KDEB, permit kenderaan bukan diberikan kepada pemandu.

“Jadi apabila kenderaan itu disaman, pemilik kenderaan, pemilik permit ada tanggungjawab dialah,” katanya pada sidang media di KL Sentral di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengarah Urusan KDEB, Ramli Tahir seperti dilaporkan sebuah portal berita.

Sebelum ini, portal berita itu melaporkan bahawa KDEB menanggung lebih 22,017 saman aktif yang sebahagian besarnya berpunca daripada tindakan pemandu menyembunyikan notis saman daripada pihak pengurusan.

Mengulas lanjut, Loke berkata, cara KDEB menguruskan pemandu yang melakukan kesalahan adalah urusan dalaman syarikat itu.

Dalam pada itu, menjawab soalan mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa tindakan penguatkuasaan yang lambat menjadi punca kesalahan berulang, Loke berkata, kementeriannya akan mempercepatkan tindakan penguatkuasaan.

“Apabila kita dedahkan pula, kita dikatakan lambat. Kalau kita tak bertindak, orang kata kita tak bertindak. Jadi sekarang kita percepatkan (tindakan penguatkuasaan).

“Kita sudah arahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan juga Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) supaya lebih agresif dari segi pemantauan, terutamanya pesalah-pesalah berulang ini,” katanya.

Beliau berkata, tindakan proaktif seperti audit keselamatan akan dilaksanakan ke atas syarikat-syarikat yang mempunyai rekod kesalahan berulang, walaupun tanpa sebarang insiden.

Loke dalam sidang media semalam mendedahkan, sebanyak 11 syarikat pengendali kenderaan barangan dikenal pasti mempunyai lebih 1,000 saman tertunggak termasuk 17 syarikat bas ekspres yang mencatatkan lebih 200 saman.

Katanya, KDEB yang juga syarikat pengurusan sisa pepejal milik Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI Selangor) mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 22,017 saman aktif.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top