redzuan.muharam@hmetro.com.my
Klang: “Buat masa ini, saya masih tiada kerja tetap jadi ini saja ikhtiar saya dan isteri untuk cari dana buat menampung keperluan anak,” kata Mohamad Redzuan Hashim mengenai ikhtiarnya menjual sambal penyet bagi mencari dana buat anaknya, Muhamad Daiyan Rizqi Mohamad Redzuan atau nama manjanya Daiyan yang menderita akibat talasemia.
Mohamad Redzuan, 31, berkata, dia sebelum ini bekerja sebagai operator di gudang syarikat penghantaran barang namun terpaksa berhenti kerana perlu membantu isteri, Aeni Lestari Miptah, 36, menguruskan serta menghantar Daiyan yang kerap dimasukkan ke hospital.
Bagaimanapun, Mohamad Redzuan tetap perlu mencari rezeki buat keluarga dan kerana itu, dia berikhtiar dengan menjual sambal penyet buatan isteri secara dalam talian sejak lima hari lalu.
“Bukan saya tak cuba cari kerja cuma belum ada rezeki dan agak sukar juga nak cari pekerjaan sesuai dengan keadaan Daiyan yang kerap keluar masuk hospital.
“Sekarang pun, saya hanya dapat bantuan RM500 daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) jadi memang tak cukup kerana kami sekeluarga tinggal di rumah sewa.
“Memang ada yang menyumbang tapi sebagai ketua keluarga, saya kena ikhtiar cari duit dan sebab itu nekad jual sambal penyet dengan bantuan isteri yang tolong masak serta bungkuskan,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, dalam keadaan sekarang, dia tidak terfikir berniaga demi kesenangan jauh sekali untuk hidup mewah.
“Tapi niat saya berniaga untuk cari duit demi keperluan anak dan selebihnya buat menyara isteri.
“Sambal itu dijual dengan harga RM15 sebotol dan syukur kerana ada juga yang membeli cuma ada juga tak senang hingga sebar benda tak betul di media sosial.
“Kata mereka, saya ‘menjual’ kisah anak dan menangis di media sosial kerana nak meraih simpati dan bantuan sedangkan yang lemparkan dakwaan itu tak berada dalam kasut saya. Susah macam mana pun saya kena kuat demi anak,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah Daiyan yang baru merasai nikmat duduk sejak Mei tahun lalu selain pernah menjalani 12 kali pembedahan di hospital.
Sebelum itu, Daiyan hanya terbaring dan jadi begitu selepas terjatuh ketika berusia setahun enam bulan yang menyebabkan berlakunya pendarahan beku di kepala.
Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Hong Leong bernombor 12650286193 atas nama Mohamad Redzuan Hashim.
© New Straits Times Press (M) Bhd




