Sambung bicara Fahmi Zainol 10 September, isteri tidak mahu teruskan kes

am@hmetro.com.my

Balik Pulau: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 10 September depan sebagai tarikh sambung bicara kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol yang didakwa sengaja mencederakan isterinya bagi memberi ruang kepada pihak pendakwaan mendapatkan arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Majistret Chia Huey Ting membenarkan permohonan pihak pendakwaan selepas pengadu kes berkenaan yang juga isteri tertuduh, Nur Hidayah Abd Jabar, 35, selaku saksi pertama pendakwaan, memberi keterangan bahawa beliau telah menarik balik laporan polis asalnya dan tidak mahu kes itu diteruskan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ikmal Affendi Zulkifly memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan perlu merujuk perkara itu kepada AGC untuk mendapatkan arahan sama ada mahu meneruskan kes atau sebaliknya susulan keterangan Nur Hidayah hari ini.

Huey Ting berkata, pihak pendakwaan berhak mendapatkan arahan lanjut dan menegaskan bahawa tugas pendakwaan adalah menegakkan keadilan dan keputusan pengadu untuk menarik balik laporan tidak secara automatik menentukan sama ada prosiding jenayah perlu dihentikan.

“Pihak pendakwaan tidak terikat dengan kehendak mangsa sama ada untuk mendakwa atau tidak mendakwa seseorang. Tugasnya adalah untuk menegakkan keadilan dan hanya satu tarikh perbicaraan telah dijalankan setakat ini dengan pihak pendakwaan baru memanggil saksi pertamanya.

“Pihak pendakwaan berhak merujuk perkara ini kepada AGC untuk arahan lanjut memandangkan ini baru hari pertama perbicaraan dan fakta bahawa pengadu telah menarik balik laporan polisnya tidak bermakna pihak pendakwaan perlu menghentikan kes ini secara automatik.

“Pengadu telah memberi keterangan bahawa beliau mengalami kecederaan semasa pertengkaran dengan suaminya. Pihak pendakwaan masih perlu mempertimbangkan sama ada fakta dan bukti yang ada memenuhi keperluan undang-undang di bawah Seksyen 321 Kanun Keseksaan berkenaan sengaja menyebabkan kecederaan,” katanya.

Mahkamah turut membezakan kes yang dirujuk oleh peguam bela, Dr Shamsher Singh Thind, dengan menyatakan bahawa situasinya berbeza memandangkan pihak pendakwaan dalam kes ini baru memulakan perbicaraan dan baru mengemukakan saksi pertama selain pendakwaan berhujah bahawa bukti-bukti lain termasuk laporan perubatan dan keterangan doktor masih belum dikemukakan.

Bagaimanapun, Shamsher berhujah bahawa kes itu secara praktikalnya telah terbatal selepas pengadu berulang kali menyatakan bahawa kejadian itu adalah satu kesalahfahaman, telah menarik balik laporan asalnya, dan tidak mahu kes diteruskan.

Beliau turut berhujah bahawa bukti yang ada tidak memenuhi elemen-elemen penting berkaitan perbuatan sengaja menyebabkan kecederaan.

Terdahulu, Nur Hidayah Abd Jabar semasa sesi balas saksi memberitahu mahkamah berlaku pertengkaran sehingga membawa pergelutan sebelum tangan Fahmi terkena matanya dan berkata suaminya tidak berniat mencederakan dirinya selain menyifatkan perkara itu berpunca daripada salah faham.

Beliau turut mengesahkan sudah membuat laporan polis kedua pada hari yang sama untuk menarik balik laporan asalnya, diikuti satu lagi laporan yang menyatakan rasa tidak puas hati kerana kes berkenaan masih diteruskan.

Chia kemudiannya menetapkan 10 September pada jam 2.30 petang untuk perbicaraan disambung semula dengan pihak pendakwaan meneruskan perbicaraan semua saksi yang diperlukan diminta hadir.

Pada 27 Februari lalu, Fahmi, 35, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya dalam kejadian di Persiaran Pantai Jerejak, Bayan Lepas kira-kira 10 malam, 22 Februari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top