Sambut hari jadi, 7 remaja kena kompaun


Polis berkata mereka yang dikenakan tindakan itu berusia antara 14 hingga 18 tahun, yang terdiri daripada tiga remaja lelaki dan empat perempuan.

PETALING JAYA: Gara-gara menyambut hari jadi, tujuh remaja menerima padah apabila dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Melaka, Sabtu lalu.

Remaja terbabit dikatakan sanggup mengambil risiko dengan merentas daerah dan negeri semata-mata untuk berhibur bersama rakan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Arshad Abu, berkata mereka yang dikenakan tindakan itu berusia antara 14 hingga 18 tahun, yang terdiri daripada tiga remaja lelaki dan empat perempuan.

Dia berkata mereka ditahan ketika berkumpul secara beramai-ramai di hadapan sebuah rumah di Kuala Ina, Pulau Sebang, Alor Gajah.

“Hasil pemeriksaan, mereka didapati gagal mematuhi SOP PKP Peraturan 4 (1) dan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (PPN) 2021.

“Ada di antara mereka juga tidak mempunyai sebarang dokumen sokongan rentas negeri mahupun daerah,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik Sinar Harian, hari ini.

Arshad berkata, tindakan mereka itu boleh mendatangkan risiko kerana ada yang merentas dari daerah dan negeri mencatatkan bilangan kes Covid-19 yang tinggi.

“Dalam kes ini, pemilik premis atau bangunan juga boleh dikenakan hukuman di bawah akta yang sama kerana menerima tetamu,” katanya.

Katanya, semua remaja terbabit kemudiannya dibawa ke Balai Polis Pulau Sebang untuk diambil tindakan lanjut.