Pelakon Puteri Sarah Liyana kini dilihat kembali menjalinkan hubungan yang lebih baik dengan bekas suaminya, pengarah Syamsul Yusof.
Sambut raya bersama
Screenshot
Memetik laporan mStar, menurut Puteri Sarah, 40, mereka berjaya mencapai kata sepakat terutamanya dalam soal membesarkan dua anak mereka, Syaikhul Islam dan Sumayyah.
“Saya tak mahu ulas lebih lanjut, kita ‘move on’ sahaja. Masing-masing sudah ada fokus sendiri. Apa yang sudah jadi, biarlah terjadi.
“Hubungan kami tetap baik kerana kami mengamalkan ‘co-parenting’. Tiada masalah dalam menguruskan anak. Kita tak nak ada masalah di kemudian hari.
“Hari Raya tempoh hari, dia turut beraya bersama anak. Pada hari raya kedua saya juga turut meraikan bersama keluarganya,” katanya, baru-baru ini.
Tambahnya lagi, hubungan dengan keluarga mentua juga kekal baik dan dia turut berasa gembira melihat bekas suaminya kembali rapat dengan ibu bapanya.

“Alhamdulillah, memang gembira melihat mereka kembali berbaik. Itu yang diharapkan semua pihak sejak awal,” ujarnya.
Mengulas mengenai soal jodoh, Puteri Sarah menjelaskan perkara tersebut bukan keutamaan buat masa ini. Sebaliknya, dia kini lebih memberi tumpuan kepada perkembangan perniagaan yang semakin maju selepas memiliki kilang sendiri bagi menghasilkan produk.
“Jodoh, ajal dan maut semuanya ditentukan Allah. Doakan yang terbaik.
“Tapi memandangkan perniagaan saya semakin membesar dan sudah mempunyai kilang sendiri, saya mahu fokus untuk mengembangkannya lagi,” luahnya.
Dalam pada itu, Puteri Sarah turut menegaskan dia enggan lagi menoleh ke belakang dan mahu meneruskan kehidupan dengan lebih positif.

“Sekarang saya fokus kepada perubahan. Dah cukup huru-hara sebelum ini, jadi saya rasa kini berada dalam fasa bahagia,” tambahnya lagi.
Artikel lain: Guna khidmat peguam sama, Puteri Sarah titip pesan buat Dr Fie -“Kena ada plan A, B, C…”
Untuk rekod, Puteri Sarah dan Syamsul Yusof mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 sebelum disahkan bercerai talak satu pada 14 Jun 2023. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 9, dan Sumayyah, 7.
Sumber: mStar (Maszuhaira Sarimin)




