am@hmetro.com.my
Teluk Intan: Dua beradik dihadapkan ke dua mahkamah berasingan di sini, hari ini, atas pertuduhan membakar dewan awam milik Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) dan memiliki bahan letupan secara tidak sah, minggu lalu.
Di Mahkamah Sesyen, JM Jesan, 19, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffudin.
Mengikut pertuduhan, penganggur itu didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan bunga api hingga menyebabkan kerosakan kepada Dewan Arena Square milik MPTI, dekat Jalan Raja, di sini, pada jam 11.29 malam, 11 November lalu.
Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun dan denda.
Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Aina Liyana Mohd Talal menawarkan jaminan sebanyak RM10,000.
Peguam Faustina Francis yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan jaminan minimum atas alasan anak guamnya itu hilang pekerjaan selepas kejadian itu.
Faustina berkata, tertuduh juga perlu menanggung ibu bapa, selain sudah memberikan kerjasama yang baik kepada polis sepanjang proses siasatan.
Norhamizah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin, selain perlu melapor diri di balai polis sekali sebulan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, abang Jesan iaitu JM Steven, 24, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman atas kesalahan memiliki bahan letupan iaitu Happy Boom Assorted 138 Shot dan Happy Boom Red Cracker 88 di lokasi sama, jam 8.30 malam, 11 November lalu.
Jika disabitkan kesalahan, pemandu lori itu boleh dihukum mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan penjara tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa, Inspektor Nurul Farahdiana Md Saad menawarkan jaminan sebanyak RM8,000.
Faustina yang turut mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan minimum atas alasan anak guamnya itu perlu menanggung isteri, seorang anak berusia setahun serta adiknya yang berusia 14 tahun dan masih bersekolah.
Majistret Naidatul Athirah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kedua-dua kes itu ditetapkan 20 Disember depan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri dilaporkan berkata, kejadian kebakaran dewan itu berlaku semasa majlis sambutan ulang tahun anjuran lelaki berusia 24 tahun itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd
