am@hmetro.com.my
Putrajaya: Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya, hari ini, disifatkan amat luar biasa dengan kehadiran pengunjung pelbagai kaum dan usia, mencerminkan semangat patriotik rakyat Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan penganjuran kali ini amat menarik serta berjaya mengangkat semangat penyatuan rakyat.
“Selamat Hari Kebangsaan. Semoga perpaduan seluruh rakyat Malaysia terus diperkukuh dengan mengetepikan segala perbezaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sebaik selesai sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya di sini, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, memuji persembahan dipamerkan semua pihak yang menurutnya menghidupkan semangat kebersamaan.
“Yang penting ialah kita terus bersatu memastikan Malaysia kekal makmur demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Bertemakan Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni, sambutan bermula jam 8 pagi dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang berkenan memandu sendiri Proton Satria Neo R3 biru bernombor pendaftaran WWW 1 bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Turut mengiringi baginda berdua ialah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim yang memandu sebuah lagi Proton Satria Neo R3 putih.
Tiupan nafiri turut bergema di Dataran Putrajaya sebelum lagu Hormat Diraja dan Negaraku dimainkan oleh pancaragam Kawalan Kehormatan Utama.
Sejurus keberangkatan Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah di pentas diraja, lima pesawat iaitu tiga helikopter EC 725, AgustaWestland AW109 (Agusta A109) dan Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW 139 melakukan terbang lintas diiringi lagu kebangsaan Negaraku.
Sultan Ibrahim turut berkenan memeriksa perbarisan serta menerima Tabik Hormat Diraja daripada Kawalan Kehormatan Utama (KKU) oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dengan kekuatan empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Kem Perdana Sungai Besi.
Pelbagai persembahan serta perarakan menghiasi sambutan tahun ini membabitkan 14,010 peserta, 81 kontinjen, 21 kumpulan pancaragam, 437 aset darat dan udara serta 116 ekor haiwan dalam perkhidmatan dan tujuh kereta berhias.
Mereka mewakili pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta.
© New Straits Times Press (M) Bhd




