Sampah industri timbus kolam tadahan sampai rata

Sampah industri timbus kolam tadahan sampai rata

am@hmetro.com.my

Ipoh: Pembuangan sampah industri dan binaan secara haram di Kampung Pasir Puteh, di sini, sejak kira-kira 10 tahun lalu mengakibatkan sebuah kawasan yang dahulunya diwartakan sebagai kolam tadahan air kini rata ditambak.

Bekas lombong yang sebelum ini menjadi kawasan tadahan dan dipenuhi air menjadi seakan tapak kosong akibat rata dikambus dan ditambak dengan sampah.

Keadaan itu menyusahkan lebih 2,000 penduduk kampung yang berdepan masalah antaranya pembakaran terbuka, banjir kilat melanda tanah perkuburan berdekatan, serta jalan rosak akibat dilalui kenderaan berat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, berdasarkan rekod, tapak itu sudah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa negeri pada 2019 untuk diwartakan sebagai kolam tadahan untuk kegunaan penduduk kampung dan kawasan sekitar.

“Tetapi malangnya tempat ini diceroboh dan jadi tapak untuk pihak tertentu membuang sampah khususnya sampah pembinaan sehingga kolam yang dahulunya ada sekarang sudah tidak lagi nampak.

“Buat masa ini kita cuba hentikan dahulu tindakan pembuangan sampah haram ini dan kita perlukan kerjasama daripada orang ramai memandangkan pembuangan sampah ini masih berterusan dan aktif,” katanya di sini.

Tidak sekadar sampah dibuang dan dibakar, malah pihak tidak bertanggungjawab turut memasang struktur pintu pagar di tapak itu bagi mengelakkan orang ramai masuk, selain difahamkan kolam tadahan itu sudah tidak wujud sejak lima tahun lalu .

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pasir Puteh, Mohamad Norriduan Mohamed Idrus, 37, berkata, kolam tadahan yang sudah tidak wujud menyebabkan banjir kilat kerap melanda Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Puteh khususnya sewaktu hujan lebat.

Katanya, keadaan itu menyebabkan proses pengebumian jenazah di perkuburan bersebelahan tapak sampah haram itu berdepan kesulitan, memandangkan liang lahad dipenuhi air.

“Bila hujan lebat, biasanya aliran air dari kawasan kubur akan tersumbat. Bila kubur dikorek, air bertakung mengakibatkan kesulitan pada proses pengebumian jenazah.

“Pembakaran terbuka pula terjadi apabila kawasan ini diceroboh pencari barangan lusuh. Mereka mahu mendapatkan barangan yang boleh dijual daripada sampah, jadi ada antara mereka membakar tayar sehingga api merebak,” katanya.

Menurutnya, penduduk mahu agar kawasan itu dibangunkan semula menjadi tapak rekreasi namun menunggu keputusan selayaknya daripada pihak berkuasa.

“Bagi penduduk sudah alang-alang kawasan tadahan sudah tiada maka biarlah dinyahwartakan menjadi tempat rekreasi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top