am@hmetro.com.my
Melaka: Lempar sampah dari tingkat atas hingga bertaburan terutama di belakang rumah pangsa, malah ada yang tersangkut pada sengkuap dan pokok.
Itu sikap penyewa pekerja warga asing seperti didakwa penghuni warga tempatan yang tertekan dengan isu kebersihan yang ‘kronik’ di sekitar Rumah Pangsa Murni di Ayer Keroh di sini.
Tinjauan Harian Metro mendapati luahan penduduk berasas apabila keadaan sekitar bangunan kediaman itu dipenuhi sampah sarap seperti botol minuman, kotak rokok dan plastik yang bertaburan di bahagian belakang blok rumah pangsa, di dalam longkang serta di kawasan permainan kanak-kanak.
Ruang khas sampah di setiap tingkat juga dipenuhi sampah dan lebih menjijikkan dinding dan tangga Rumah Pangsa Murni dipercayai dicemari dengan ludah sirih warga asing hingga ditularkan di media sosial.
Penduduk, NY Hemma berkata, warga asing terbabit termasuk dari Nepal dan Bangladesh bekerja di beberapa kilang di Ayer Keroh dan menetap di rumah pangsa empat blok itu yang disewa majikan mereka.
“Warga asing ini sudah lama tinggal dan bercampur orang tempatan iaitu sejak saya menetap di rumah pangsa ini kira-kira 10 tahun lalu.
“Sikap segelintir warga asing tidak jaga kebersihan, buang sampah merata dan gemar duduk melepak sambil makan sirih dan meludah sisanya di atas tangga dan dinding.
“Memang menjijikkan dan baunya boleh membuatkan kita rasa nak termuntah,” katanya ditemui.
Hemma berkata, ada kalangan warga asing terbabit juga dikesan sengaja melempar sampah ke bawah di bahagian belakang rumah pangsa empat tingkat itu hingga bertaburan dan mencemarkan pemandangan.
“Kami bimbang sikap tidak mementingkan kebersihan ini boleh menimbulkan masalah lain seperti penyakit akibat nyamuk dan tikus,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Norjunapsiah Hasan,55, pula berkata, kehadiran warga asing melepak di kawasan permainan kanak-kanak serta membuat bising ketika melalui kawasan rumah pangsa dari asrama ke kilang menimbulkan isu keselamatan dan ketidakselesaan penduduk di situ untuk beriadah.
“Mereka melepak pada hari Sabtu dan Ahad selain turut mengotorkan padang permainan dengan membuang botol minuman dan plastik
“Satu lagi, setiap pagi beratus pekerja asing menggunakan jalan pintas melalui rumah pangsa ini ke kawasan kilang sambil membuat bising, sedangkan mereka boleh guna jalan di luar.
“Saya juga lihat ada pengawal keselamatan yang pantau pergerakan mereka waktu pergi dan balik, namun tidak berkesan,” katanya.
Sementara, Pengerusi Perbadanan Pengurusan Rumah Pangsa Melur, Ibrahim Kasim, 62, yang terletak bersebelahan berkata, meskipun bangunan rumah pangsa itu tidak berdepan dengan isu kebersihan, namun mereka berkongsi taman permainan sama.
“Papan pemberitahuan juga sudah kami dirikan yang turut mengandungi tulisan bahasa Nepal yang taman ini khusus untuk kanak-kanak, namun tidak tidak dihiraukan warga asing ini.
“Namun, selepas isu ini tular Jabatan Imigresen melakukan operasi dan kini keadaan semakin terkawal.
“Kami juga ada memohon kepada Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya untuk memasang pagar di kawasan rumah pangsa ini bagi mengelak warga asing melintas di sini untuk ke kilang di kawasan Perindustrian Ayer Keroh,” katanya.
Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd