Sampah terdampar di pantai Terengganu ketika MTL

Sampah terdampar di pantai Terengganu ketika MTL

Kuala Terengganu: Arus deras berserta ombak besar yang berlaku pada musim Monsun Timur Laut (MTL) menyebabkan longgokan sampah domestik dan ‘asing’ terdampar di sepanjang pantai negeri ini.

Kemunculan sampah itu dikesan bermula minggu lalu dan jumlahnya dijangka meningkat sehingga Mac tahun depan selepas tamat musim monsun setiap tahun.

Pengerusi Geng Plastik Ija (GPI), Zulkefli Sarji, berkata sampah itu terdampar di sepanjang pantai dari Kemaman hingga ke Besut dan fenomena itu berlaku saban tahun yang menjejaskan pemandangan.

“Situasi ini berlaku setiap tahun dan jumlah kutipan sampah di kawasan pantai akan meningkat berikutan sampah asing turut terdampar di pantai negeri ini.

“Ini baru permulaan musim tengkujuh, kami jangkakan lebih banyak sampah akan dipungut,” katanya turut dibantu sukarelawan setiap kali program bersih pantai dilakukan.

Menurutnya, sampah sarap terutama botol plastik bukan sahaja mencacatkan pemandangan malah memberi ancaman besar kepada ekosistem laut termasuk penyu dan hidupan marin.

Katanya, pihaknya amat berterima kasih kepada sukarelawan yang sudi membantu GPI dalam menjaga kebersihan pantai di Terengganu.

“Pembabitan masyarakat amat kami hargai dan dalam masa sama GPI menerapkan nilai positif kepada peserta tentang pentingnya penjagaan alam sekitar,” katanya.

Katanya, GPI mempunyai kira-kira 1,000 ahli dan untuk rekod tahun ini seramai 9,000 orang sukarelawan menyertai program bersih pantai bersama GPI.

Beliau berkata, melalui program yang dianjurkan GPI sebanyak 35 tan metrik sampah berjaya dikutip tahun ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top