“Sampai Bertumbuk, ‘Left’ Grup WhatsApp” – Tolak Tawaran ‘Job’ Solo, Floor 88 Tetap Kukuh Walau Pernah Bergaduh

“Sampai Bertumbuk, ‘Left’ Grup WhatsApp” – Tolak Tawaran ‘Job’ Solo, Floor 88 Tetap Kukuh Walau Pernah Bergaduh

Lapan tahun berkarya dalam industri muzik, kumpulan Floor 88 tidak terlepas daripada ujian, termasuk pergaduhan sesama sendiri.

Menurut pemain papan nada mereka, Eric Fuzi, konflik yang berlaku dalam kalangan anggota kumpulan dianggap perkara biasa dan tidak berpanjangan.

“Gaduh itu perkara biasa terutama apabila membabitkan soal kerja. Kadang-kadang, sampai bertumbuk hingga ada yang keluar daripada kumpulan aplikasi WhatsApp.

“Kalau berlaku perselisihan faham, kami tidak pujuk atau berbincang. Tetapi, orang lelaki ini, apabila gaduh, sekejap sahaja. Tidak simpan dalam hati pun. Hari ini gaduh, esok atau lusa sudah berbaik semula,” katanya.

Berbeza dengan banyak kumpulan seangkatan yang kecundang akibat perpecahan, Floor 88 yang turut dianggotai oleh Ayie Elham sebagai penyanyi, Achoi (gitar), Falique (bes), Akram (dram) dan Amir (gitar kedua) ini kekal berdiri sejak penubuhannya lapan tahun lalu.

Namun begitu, menjaga keutuhan sebuah kumpulan bukan sesuatu yang mudah.

Menurut Ayie, antara pengajaran penting yang dipelajari daripada band-band senior ialah betapa sikap tamak dan terlalu mengejar keuntungan menjadi punca utama perpecahan berlaku.

“Tahun 2025 menjadi tahun kelapan Floor 88 ditubuhkan. Saya kalau dapat tawaran menyanyi solo, biasanya, saya tidak terima. Keutamaan saya adalah untuk buat persembahan bersama band.

“Ada sahaja panggilan untuk saya menyanyi solo. Lazimnya saya tanya bajet penganjur. Daripada bajet yang banyak itu beri kepada saya seorang, adalah lebih baik untuk bayar kami berenam.

“Ketika kami belum dikenali, ramai artis senior kami jumpa dan bertanya tip pertahankan ukhuwah. Rata-rata kami diberitahu, perpecahan terjadi berpunca daripada wang,” katanya.

Anggota Floor 88 ditemui pada majlis pelancaran single dan video muzik terbaharu mereka berjudul F, baru-baru ini.

@xtra_my Single terbaharu kumpulan Floor 88 berjudul F memang kreatif sebab liriknya ada guna bahasa F 🫢 Siapa kat sini yang pandai cakap bahasa F eh… Berbelit tak lidah tu hehehe #xtramy #xtratonton #floor88 ♬ original sound – XTRA

Untuk mengelakkan konflik berkaitan duit, Ayie berkata mereka sepakat untuk tidak menerima tawaran kerja secara individu, kecuali jika melibatkan tawaran lakonan.

“Saya lebih utamakan band ini, melainkan ia adalah tawaran berlakon. Saya pernah menolak tawaran persembahan solo walaupun dijanjikan bayaran tinggi. Disebabkan penganjur tidak mahu sediakan barisan pemuzik, saya tidak terima tawaran itu.

“Biasanya, saya tolak dengan cara baik dan sopan. Saya beritahu penganjur tawaran ditolak kerana hendak jaga hati anggota band,” ujarnya.

Bercerita mengenai buah tangan mereka, Floor 88 tampil dengan kelainan menerusi single terbaru mereka berjudul F, menggunakan huruf yang pernah menjadi ‘slanga’ popular dalam kalangan remaja.

Apabila ditanya sama ada mereka risau lagu tersebut mungkin diharamkan daripada dimainkan di radio, terutama stesen kerajaan kerana penggunaan istilah yang tidak rasmi, Eric mempunyai jawapan tersendiri.

“Saya faham istilah ‘F’ tiada dalam Kamus Dewan. Namun, apa yang kami cuba paparkan adalah sekadar hiburan atas lesen kreatif.

”Muzik video saya arahkan sendiri dan mendapat inspirasi daripada filem Man Laksa arahan Allahyarham Mamat Khalid.

“Asalkan lagu ini tidak ada unsur lucah atau bawa mesej negatif, saya tidak anggap ia sebagai isu. Jika lagu ini diharamkan di stesen radio, saya anggap, tiada rezeki di situ. Mungkin ada rezeki lagu ini di tempat lain,” katanya.

Lagu F ciptaan Achoi mengangkat isu-isu sosial berkaitan kelompok B40, M40 dan T20 yang sering menjadi sorotan di media sosial.

Scroll to Top