“Sampai Bila Nak Anggap Saya Budak?” – Mia Sara Nasuha Luah Penat Dilabel Pelakon Cilik

“Sampai Bila Nak Anggap Saya Budak?” – Mia Sara Nasuha Luah Penat Dilabel Pelakon Cilik

Pelakon Mia Sara Nasuha gagal menahan sebak sebaik sahaja meluahkan rasa kecewanya apabila masih ada segelintir pihak yang melihatnya sebagai pelakon kanak-kanak, meskipun usianya kini sudah mencecah 21 tahun.

Mia atau nama sebenarnya Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan menegaskan, dirinya sudah dewasa dan mahu keluar daripada bayangan imej pelakon cilik yang kini semakin sebati sejak awal pembabitannya dalam dunia lakonan.

“Saya bukan lagi seorang budak. Saya mahu buang imej kanak-kanak itu, ubah perspektif orang yang masih menganggap saya ini pelakon cilik. Saya sudah 21 tahun,”luahnya.

Pelakon yang dikenali menerusi filem Nur Kasih itu mengakui sudah letih apabila sering dipandang sebagai kanak-kanak sehingga menjejaskan penerimaan terhadap kebolehan dan pandangannya sebagai seorang pelakon dewasa.

“Saya sebenarnya sudah penat apabila asyik dianggap sebagai kanak-kanak. Saya sudah dewasa.. Sampai bila orang mahu menganggap saya ini budak kecil? Saya letih kerana diri saya ini tidak dipandang serius,” katanya.

Meskipun begitu, Mia menegaskan, dia tidak menolak watak sebagai pelajar sekolah dan masih menghargai peluang yang diberikan.

Bagaimanapun, dia merasakan sudah tiba masanya untuk bergerak ke fasa baharu dalam kerjaya lakonannya.

“Jangan salah faham. Saya seronok berlakon dan gembira menerima watak budak sekolah. Tetapi keadaan sudah berubah. Tiba masanya untuk saya menukar haluan. Saya tak boleh selamanya menjadi kanak-kanak.

“Tapi amat mengecewakan apabila saya masih terperangkap dalam persepsi orang yang masih memandang saya ini sebagai kanak-kanak sedangkan saya sudah dewasa. Sampai bila?”jelasnya.

Mia berkata demikian ketika ditemui pada majlis apresiasi media dan pelancaran drama FYP Macam VIP yang diadakan di Kuala Lumpur pada Rabu.

Ketika ditanya sama ada perkara tersebut menganggu kesihatan mentalnya, Mia mengakui ia memberi kesan mendalam terhadap kesihatan mentalnya sejak usia remaja.

Namun, enggan berputusa asa terhadap minatnya dalam bidang lakonan, mia justeru berharap penerbit dan pengarah dapat membuka mata serta memberi peluang kepadanya untuk membawakan watak yang lebih matang dan mencabar.

“Terus terang saya katakan, keadaan ini mengganggu mental saya. Saya berperang dengan masalah ini sejak usia 15 tahun.

“Saya harap penerbit dapat melihat bahawa saya mampu membawa watak lain, watak dewasa. Saya tidak mahu terus ditawarkan watak budak sekolah,” ujarnya.

Scroll to Top