Sampai hari ini Harun Hashim masih menangis

Sampai hari ini Harun Hashim masih menangis

najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya rasa kosong dan sunyi. Saya kini patah sebelah kaki,” kata pelakon veteran, Harun Hashim,68, selepas pemergian isteri tercinta, Sakinah Ganjali pada November tahun lalu.

Harun berkata, sejak pemergian Allahyarham enam bulan lalu, dia tidak pernah lupa untuk menziarahi pusara isteri walaupun sehari.

Katanya, dia juga sanggup berpindah berdekatan tanah perkuburan supaya memudahkannya untuk berulang-alik.

“Selama ini dia menemani saya ke mana saja. Dialah yang jaga jadual kerja termasuklah tolong tengokkan arah jalan.

“Sampai sekarang saya masih lagi menangis. Tiada siapa yang tahu kesedihan yang saya tanggung,” katanya yang ditemui pada majlis sidang media pelancaran program Haji TV AlHijrah 1446H: Menyahut Panggilan-Mu, di sini, hari ini.

Harun yang memiliki enam anak hasil daripada perkahwinan terdahulu berkata, anak-anak ada datang melawat apabila mereka mempunyai waktu terluang.

Ditanya adakah dia berhasrat untuk mencari pengganti, Harun berkata, dia belum terfikir untuk mencari pasangan hidup kerana umur yang tidak lagi muda.

“Saya tak berani nak cakap kerana takut dikatakan tak sedar diri dengan usia begini.

“Saya juga takut orang kata kalau kahwin hari ini, esok lusa saya pula mati.

“Jujurnya bila tinggal sendirian, ada kebimbangan akan mati sendirian. Saya paling takut orang jumpa saya dalam keadaan sudah berulat,” katanya.

Dalam pada itu, Harun bersyukur masih menerima tawaran berlakon sekali gus dapat menampung kehidupan sehariannya.

Terbaharu Harun membintangi telefilem Bilal dan Abah yang akan menemui penonton pada 8 Jun depan jam 9 malam di TV Alhijrah.

Bagaimanapun dengan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan dan masalah penglihatan, dia tidak boleh menerima semua tawaran.

“Saya ada masalah darah tinggi, kencing manis dan kolestrol. Alhamdullilah setakat ini tawaran sentiasa ada, tapi tak semua yang saya terima.

“Saya hanya terima mana yang perlu, dapat satu ‘job’ pun dah cukup untuk menampung hidup selama enam bulan.

“Lagipun saya susah nak bergerak dengan penglihatan yang terhad, biasanya produksi yang akan hantar dan jemput ke lokasi,” katanya.

Pada 21 November lalu, isteri pelakon itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 48 tahun di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) akibat kanser payudara tahap empat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top