am@hmetro.com.my
Shah Alam: Polis giat memburu dua lagi suspek bagi membantu siasatan kes samun jongkong emas seberat 16.9 kilogram di Puchong, bulan lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian samun bersenjata pada 11 pagi, 13 Sept itu mengakibatkan kerugian RM5.9 juta.
Katanya, ketika kejadian, mangsa bersama rakan sekerjanya sedang memasukkan jongkong emas itu ke dalam kenderaan syarikat di tempat letak kenderaan Kompleks Industri Puchong.
“Empat lelaki bertopeng menaiki Perodua Axia menggunakan nombor pendaftaran palsu menghampiri, dengan suspek pertama memukul tangan dan kaki mangsa dengan kayu.
“Suspek kedua mengacukan parang, manakala suspek ketiga mengambil beg berisi jongkong emas terbabit yang berada di tempat duduk belakang kenderaan syarikat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah Kontinjen Selangor Tahun 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.
Hussein berkata, pada 8 Okt hingga 14 Okt lalu, pihaknya berjaya menangkap lima lelaki dan dua perempuan tempatan berumur lingkungan 27 hingga 60 tahun.
“Semakan mendapati empat suspek mempunyai 25 rekod jenayah lampau dan narkotik, serta polis merampas kenderaan iaitu Perodua Axia dan Volkswagen Passat, selain enam sarung tangan dan barang samun iaitu empat kepingan emas, barangan dan wang tunai dipercayai hasil penjualan harta samun.
“Siasatan juga mendapati suspek membeli beberapa kenderaan mewah hasil samun jongkong emas terbabit,” katanya yang memaklumkan dua suspek dituduh di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya mengikut Seksyen 395/397, Seksyen 412 dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, empat suspek pula akan dituduh esok di mahkamah sama mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, manakala seorang suspek akan diikat bon mahkamah sebagai saksi pendakwaan.
Katanya, usaha memburu dua lagi suspek sedang dilakukan untuk siasatan mengikut Seksyen 395/ 397 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menghubungi IPD Serdang di talian 03-80742222.
Dalam perkembangan lain katanya, polis memberkas seorang lelaki berusia 33 tahun di Kota Tinggi, Johor, disyaki terbabit kes pecah rumah di Seksyen U13 di sini, 6 Oktober lalu yang membabitkan kerugian RM300,000.
© New Straits Times Press (M) Bhd




