Sang-sik kendali Asean All-Star lawan Man United

Sang-sik kendali Asean All-Star lawan Man United

Kuala Lumpur: Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) mengumumkan ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan Vietnam Kim Sang-sik sebagai pengendali pasukan Asean All-Stars bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Manchester United di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini pada 28 Mei ini.

AFF dalam kenyataan hari ini memaklumkan Sang-sik dipilih berdasarkan rekod cemerlang membantu Vietnam mencatat rekod tanpa kalah untuk menjuarai Piala Asean 2024.

“Dengan rekod kecemerlangan yang baik, selain turut menerima keyakinan utuh dalam seluruh komuniti bola sepak, Sang-sik seterusnya dipilih sebagai calon terbaik mengemudi pasukan Asean All-Stars,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Sang-sik ketika mengulas mengenai pelantikan itu berkata beliau menyifatkan ia sebagai penghormatan buat dirinya.

“Kami bukan sekadar mewakili negara kami, tetapi kami secara bersama membuktikan kepada dunia akan kebanggaan, semangat dan kekuatan seluruh rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden AFF Mejar Jeneral Khiev Sameth berkata Sang-sik adalah simbol kemajuan dan profesionalisme.

Beliau berkata kepimpinan jurulatih kelahiran Korea Selatan itu memberi inspirasi bukan sahaja kepada pasukan bahkan seluruh generasi pemain bola sepak termasuk peminat.

Perlawanan ini detik kebanggaan serantau kerana ia turut membuktikan bola sepak mampu meningkatkan daya hidup,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top