Sanggup bedah panjangkan kaki, mahu lebih tinggi dari isteri

Sanggup bedah panjangkan kaki, mahu lebih tinggi dari isteri

London: Seorang peguam dari Miami, Hugo Ramirez sanggup menjalani pembedahan pemanjangan kaki untuk menambah ketinggiannya daripada 175 sentimeter kepada 183 sentimeter.

Menurut Metro UK, tidak puas dengan tambahan kira-kira lapan sentimeter, lelaki berusia 40-an itu merancang menjalani pembedahan kali kedua untuk mencapai 190.5 sentimeter yang dianggapnya ketinggian sempurna.

Katanya, berada pada ketinggian sederhana membuatkan dia terpaksa bekerja lebih keras untuk menonjol di mahkamah dan mesyuarat perniagaan berbanding lelaki yang lebih tinggi.

“Saya sudah berkahwin 13 tahun dan isteri tidak mahu saya buat pembedahan ini, tapi di tempat kerja orang yang 175 sentimeter terpaksa bersaing,” katanya menerusi podcast Just Between Us terbitan Metro UK.

Dia juga mengakui motivasinya adalah ‘kesombongan’ kerana tidak mahu dilihat sebagai lelaki biasa.

Susulan itu, Hugo membelanjakan 62,851 pound (kira-kira RM389,676) untuk menjalani prosedur di Limbplastx, Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) selepas rakannya yang turut berjanji mahu melakukannya menarik diri pada saat akhir.

Proses itu melibatkan pembedahan mematahkan tulang paha sebelum memasukkan rod magnetik yang mampu meregang satu milimeter sehari sehingga terbentuk tulang baharu.

Difahamkan, dalam tempoh tiga bulan, pesakit boleh bertambah tinggi sehingga 2.54 sentimeter sebulan dan hanya meninggalkan parut kecil selepas sembuh.

Hugo berkata bahagian paling sukar adalah belajar berjalan semula kerana otot kakinya lemah, selain terpaksa bergantung penuh kepada isterinya untuk bergerak dan menjaga dirinya.

Sepanjang tiga bulan pemulihan, dia hampir tidak boleh melakukan apa-apa termasuk keluar rumah, malah pernah melanggar nasihat doktor dengan menaiki kapal layar kerana terlalu bosan.

Selepas enam bulan berjalan tempang, dia akhirnya kembali seimbang dan kini berpuas hati dengan ketinggiannya.

Katanya, perubahan itu membuatkan dia lebih yakin termasuk apabila seorang hakim yang berpengaruh di Houston mula menegurnya selepas melihat dirinya pada ketinggian enam kaki (183 sentimeter).

Selain itu, Hugo turut gembira kerana akhirnya lebih tinggi daripada isterinya yang sering kelihatan lebih menonjol apabila memakai kasut tumit tinggi.

“Dalam hidup, lelaki mesti lebih tinggi daripada pasangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top