Sanggup bergaji 'ciput' demi bergelar wartawan penyiaran

Sanggup bergaji 'ciput' demi bergelar wartawan penyiaran

SIRI 2

am@hmetro.com.my

Selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya (UM), pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi, 64, mendedahkan dia mendapat pekerjaan sebagai pegawai perhubungan awam di sebuah syarikat perkapalan.

Bagaimanapun, kata graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi itu, Aznil atau lebih mesra dipanggil Pak Nil turut berjinak-jinak sebagai model iklan secara sambilan ketika masih berkhidmat dengan syarikat perkapalan berkenaan.

“Pembabitan saya sebagai model iklan berlaku secara kebetulan bila dihampiri seorang pencari bakat di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur.

“Pada mulanya, saya tidak yakin dan berasa rendah diri kerana rata-rata model iklan komersil pada zaman itu berwajah kacukan atau Pan-Asian,” katanya.

Kata Aznil, dia tetap menghadiri sesi uji bakat sebagai model iklan dan terpilih untuk jenama coklat.

“Bila dapat buat iklan Cadbury dan gambar keluar terpampang di surat khabar, baru saya yakin dengan kemampuan diri sendiri.

“Menyusul selepas itu, saya menerima tawaran untuk buat jenama lain termasuk Colgate, Nescafe dan Pepsi,” katanya.

Katanya, pembabitannya sebagai model iklan kemudian dihidu pihak syarikat dan dia diberikan surat amaran oleh pengurusan.

“Saya seronok menjadi model iklan dan minat pada bidang seni. Jadi, selepas dapat surat amaran, saya nekad berhenti kerja 24 jam dan meninggalkan kerjaya tetap di syarikat perkapalan itu pada 1984.

“Pada masa itu, saya juga sudah berkahwin dan isteri pula sedang mengandung dan perlu mencari sumber pendapatan tetap bagi menampung kehidupan keluarga,” katanya.

Selepas tiada kerja tetap, kata Pak Nil, dia membuat persembahan bersama kumpulan muzik di sebuah pub iaitu The Ship, Damansara selama dua tahun untuk menyara keluarganya.

“Ketika di bangku sekolah, saya sudah menyanyi bersama kumpulan boria. Jadi, saya fikir dengan bakat menyanyi, saya buat persembahan di pub.

“Walaupun saya tak ambil minuman keras dan hanya menyanyi, tetapi pandangan masyarakat terhadap orang yang bekerja di pub berbeza ketika itu.

“Saya juga ada tanya ustaz dan dia nasihatkan lebih afdal kalau cari kerja lain. Jadi, saya pun berhenti dari pub dan mula mencari pekerjaan lain,” katanya.

Selepas berhenti dari pub, kata Aznil, dia berusaha mencari kerja menerusi iklan jawatan kosong di akhbar dan mencuba nasib sebagai wartawan penyiaran di TV3.

Walaupun memiliki ijazah dalam bidang ekonomi, kata Aznil, dia tetap memohon jawatan wartawan penyiaran yang hanya mensyaratkan kelulusan diploma.

Katanya, dia sanggup menerima gaji lebih rendah berbanding ketika bekerja di syarikat perkapalan asalkan dapat bekerja dalam bidang penyiaran.

“Saya masih ingat ketika sesi temu duga jawatan wartawan penyiaran yang berlangsung jam 9 pagi, saya sudah sampai pada jam 8 pagi.

“Masa itu suara saya serak sebab malam sebelumnya saya menyanyi di pub. Ketika sesi temu duga, saya juga diminta menyanyi, bila mereka dapat tahu saya juga penyanyi. Saya pun menyanyi dengan kuat sampai suara saya bergema hingga satu tingkat pun boleh dengar.

“Akhirnya, saya diterima sebagai wartawan penyiaran dan ditugaskan membuat liputan pelbagai kejadian termasuk banjir serta kebakaran sebelum diberi peluang membaca berita di TV3,” katanya.

ESOK: Kena tegur mufti kerana imej.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top