Bangkok: Pengguna media sosial dan pemandu teksi di Phuket mengecam tindakan seorang pemandu kerana menawarkan perkhidmatan pengangkutan secara haram kepada pelancong asing dan meletakkan isterinya di bahagian ruang simpanan belakang.
Laman Facebook komuniti tempatan berkongsi video kenderaan terlebih muatan itu baru-baru ini di mana ia menyaksikan seorang wanita berbaju putih, dipercayai isteri pemandu, dilihat mengosongkan tempat duduk penumpang hadapan dan bergerak untuk duduk di ruang simpanan belakang.
Dia menyerahkan tempat duduknya untuk memberi ruang kepada tiga penumpang asing yang menempah perkhidmatan itu bersama suaminya, lapor The Thaiger.
Pelancong asing itu kelihatan keliru dengan tindakan wanita itu tetapi akhirnya memasuki kenderaan itu.
Pengguna media sosial khususnya pemandu teksi tempatan, meluahkan kekecewaan mereka dan menyatakan bahawa kenderaan jenis ‘hatchback’ itu digunakan secara haram, kerana tidak mempunyai pendaftaran yang sepatutnya untuk kenderaan pengangkutan awam.
Ada yang membuat spekulasi bahawa pemandu itu mungkin telah menerima tempahan melalui aplikasi ride-hailing, namun dia sepatutnya mematuhi piawaian profesional, seperti pemandu lain di wilayah itu.
Malah, ramai yang berpendapat bahawa isterinya tidak sepatutnya berada di dalam kenderaan ketika bertugas.
Pengguna turut menggesa Pejabat Pengangkutan Darat Wilayah Phuket mengambil tindakan tatatertib terhadap pemandu itu kerana memberikan perkhidmatan secara haram.
Ada juga yang menggesa pegawai untuk mempertimbangkan hukuman selanjutnya, memandangkan potensi bahaya keselamatan yang ditimbulkan dengan membenarkan penumpang duduk di ruang simpanan belakang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




