hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Mentakab: Pengalaman kehilangan kucing kesayangan akibat lemas dalam kejadian banjir, empat tahun lalu menjadi detik menyedihkan buat wanita ini, malah sehingga kini masih ada perasaan bersalah.
Justeru, setiap kali hujan lebat melanda menyebabkan Anis Umairah Abdullah, 23, bimbang berlaku banjir kerana memikirkan keselamatan 11 haiwan peliharaannya yang tiada tempat berlindung.
Terbaru penempatannya di Sungai Dingin, di sini, dilanda banjir Oktober lalu hingga memaksa Anis Umairah dan ibu bapanya berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) untuk berlindung, manakala 11 kucing peliharaan turut dipindahkan ke rumah kenalan ibunya.
Video Anis Umairah meranduk banjir memindahkan haiwan berkenaan mendapat perhatian netizen yang turut merasai kebimbangan selain memuji tindakannya sanggup bergadai nyawa menyelamatkan kucing tersayang.
Pembantu kedai gajet itu berkata, kawasan rumahnya mula dinaiki sejak 13 Oktober lalu, namun air semakin tinggi sehingga paras paha dua hari kemudian lalu memaksanya dan ibu bapa berpindah ke PPS di Bukit Cermin.
Menurutnya, selepas menguruskan ibu bapa yang sudah berusia, dia memindahkan kucing ke rumah kenalan keluarga yang sanggup membantu memberikan tempat perlindungan sementara.
“Saya tak sanggup tinggalkan kucing di rumah kerana bimbang insiden empat tahun lalu berulang apabila pulang saja ke rumah selepas seminggu di PPS, saya ‘disambut’ dua rangka anak kucing, manakala dua lagi hanyut.
“Ketika itu banjir memang teruk hingga paras bumbung rumah, saya pula ketika itu tiada ‘carrier’, jadi saya tak boleh bawa semua terpaksa tinggalkan sekejap di rumah dan hanya mampu dukung dua kucing saja dengan tangan.
“Apabila saya mahu pulang semula ke rumah ambil kucing yang lain, air pula semakin tinggi dan ibu ayah larang pulang ke rumah kerana keadaan memang bahaya,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Katanya, selepas kejadian itu, dia tidak mahu kejadian sama berulang dan akan berusaha memindahkan haiwan peliharaan ke tempat selamat.
“Ketika saya ambil kucing itu, semuanya bising seolah-olah menanti kehadiran saya yang membuatkan saya sedih. Saya kongsikan video itu sebagai kenangan dan mahu kongsi dalam keadaan bencana, haiwan juga perlu diselamatkan.
“Sekarang kami berhati-hati dan sentiasa bersiap sedia kerana dimaklumkan akan ada gelombang kedua banjir pada bulan depan,” katanya memberitahu semua kucing peliharaan adalah haiwan jalanan yang diselamatkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




