Demi memastikan kualiti terbaik untuk single terbarunya Sesaat, penyanyi dan komposer Aina Abdul sanggup berulang-alik ke Jakarta berkali-kali sepanjang proses penghasilan karya terbabit.
Usaha itu membuktikan dedikasi Aina terhadap karya yang akhirnya dilancarkan secara rasmi pada 26 September 2025.

Selepas hampir setahun tidak muncul dengan lagu solo baharu sejak Imaji Deluxe Edition pada Oktober 2024, Aina kembali dengan naskhah penuh emosi yang bukan sekadar sebuah lagu, tetapi simbol pengorbanan dan perjalanan jiwanya.
@xtra_my Alamak, sedapnya 🫠🥺 Galau kejap dengar Aina Abdul belanja single baharu Sesaat. Tak sabar nak tunggu versi full pada 26 September ni! ❤️ #xtramy #xtratonton #ainaabdul ♬ original sound – XTRA
“Perjalanan menghasilkan Sesaat memang penuh cabaran. Saya kerap terbang ke Jakarta kerana mahu setiap perincian benar-benar sempurna.
“Lagu ini tentang kehilangan yang berulang, tetapi juga tentang kekuatan untuk bangkit melawan hubungan toksik. Saya harap ia dapat menjadi ruang untuk pendengar berkongsi rasa, sama ada mereka berduka atau mencari makna hidup,” katanya.

Sesaat diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia dengan kerjasama Sony Music Entertainment Indonesia, menjadikan ia bukan sahaja pelancaran muzik, tetapi juga simbol kolaborasi serantau.
Dicipta oleh komposer Indonesia Trakast, Fabio Asher dan Yafi Aria, dengan penerbitan oleh Fabio, Yafi serta Rico Andre, Aina mengakui karya ini sangat dekat di hatinya, walaupun bukan ciptaan sendiri.
“Sejak kali pertama mendengar melodi dan liriknya, saya terus jatuh cinta. Ada sesuatu tentang kisah ini yang begitu manusiawi, penuh luka, dan terasa sangat peribadi. Saya yakin ia adalah hadiah yang tepat buat peminat yang menantikan buah tangan solo saya,” ujarnya.
Mengisahkan cinta yang hadir sekejap lalu pergi tanpa kata, Sesaat menonjolkan kekuatan vokal Aina yang sarat emosi.

Lebih daripada sekadar single, ia menjadi permulaan kepada babak baharu perjalanan seninya, di mana dia terus bereksperimen dengan pelbagai warna muzik tanpa mengorbankan identiti emosinya.
“Saya mahu pendengar bukan sekadar mendengar suara saya, tetapi juga merasai jiwa saya yang ingin dekat dengan mereka. Sesaat adalah titik mula untuk fasa baharu dalam seni saya,” tambahnya.




