Sanggupkah kita ambil tindakan jenayah ke atas Tun M?

Sanggupkah kita ambil tindakan jenayah ke atas Tun M?

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim membangkitkan persoalkan mengenai syor untuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan jenayah terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Syor itu dinyatakan dalam Laporan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang dibahaskan di Dewan Rakyat di hari ini.

“Bila disyorkan buat laporan polis, ambil tindakan jenayah kepada Tun Dr Mahathir yang telah berusia hampir 100 tahun, keluar masuk IJN (Institut Jantung Negara), sanggupkah kita buat ini kepada (bekas) Perdana Menteri kita?

“Tan Sri (Johari Abdul) pun tahu saya bukan pentaasub Tun Dr Mahathir, saya adalah pengkritik tegar Tun Dr Mahathir sejak saya muda lagi, tetapi hendaklah kita berlaku adil.

“Kita bukan kalah semua. Kita kalah Batu Puteh, tetapi kedaulatan Batuan Tengah berpihak kepada Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, Hassan turut mempersoalkan sekiranya Dr Mahathir dihukum, adakah Batu Puteh itu boleh diperoleh semula.

“Saya nak tanya, kalau Tun Dr Mahathir diheret ke balai polis, dibawa ke mahkamah, didapati bersalah, hukuman di bawah (Seksyen) 415B ini penjara sampai lima tahun.

“Kalau kita hukum Tun Dr Mahathir ini, adakah kita boleh dapat semula Pulau Batu Puteh yang telah terlepas itu?” katanya.

Beliau juga mengingatkan kepada Ahli Parlimen termasuk menteri yang ada kini mengenai jasa dan pengorbanan Dr Mahathir.

“Takkanlah langsung Tun Dr Mahathir ini tak ada jasa kepada negara kita? Ramai menteri yang ada di sini, pejabat mereka di Putrajaya.

“Siapa yang bina? Selepas kita bersidang petang ini ada yang balik sampai ke Kangar, ada yang balik ke Johor Bahru. Siapa yang bina lebuh raya itu?

“Bila kita keluar daripada Parlimen ini, hari gelap kita tengok bangunan apa bercahaya, berseri-seri terkenang seluruh dunia. Siapa yang bina itu semua? Katakanlah itu semua tidak penting,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top