asmaini@mediaprima.com.my
SEBELUM membeli sangkar untuk haiwan peliharaan anda khususnya si bulus, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira.
Antaranya saiz sangkar untuk memastikan haiwan peliharaan anda tidak stres dengan keterbatasan keluasannya.
Ini kerana mengurung kucing di dalam ruangan yang sempit akan menyebabkan ia menjadi gelisah dan tertekan selain menjejaskan kesihatannya
Ruangan yang sempit juga akan menyebabkan kucing bernafas dengan laju kerana berasa tidak selamat dan kurang selesa.
Sangkar kucing setingkat 0.45 meter (1.5 kaki contohnya sesuai untuk seekor kucing dewasa bersaiz biasa atau untuk tiga atau empat ekor anak kucing.
Sementara itu, sangkar dua tingkat dilihat sesuai untuk dua ekor kucing dewasa atau lima hingga enam ekor anak kucing.
Bagi sangkar tiga tingkat pula sesuai untuk seekor atau dua ekor kucing dewasa bersaiz besar, tiga hingga empat ekor kucing dewasa bersaiz biasa atau ibu kucing bersama empat hingga lima anaknya.
Sekiranya anda memiliki banyak kucing, pilihlah rekaan dan saiz sangkar yang sesuai bagi memastikan ia selesa.
Selain itu, pastikan anda memilih sangkar yang mudah untuk dibersihkan kerana jika tidak, ia bukan sahaja mendatangkan bau yang kurang menyenangkan malah boleh menjadi tempat kuman dan bakteria membiak.
Jadikan rutin untuk membersihkan sangkar haiwan kesayangan anda sekurang-kurangnya dua kali seminggu.
Jika kucing anda boleh tidur lena dalam sangkar yang disediakan, ini bererti ia selesa dengan persekitaran berkenaan.
Elakkan daripada mengubah apa-apa kerana sebarang perubahan yang tidak selesa akan menjadikan si bulus anda berasa tertekan.
Apapun, pastikan hanya kucing yang sihat sahaja di masukkan ke dalam sangkar.
Jika ia tidak sihat, asingkan dan elakkan bercampur di dalam sangkar bagi mengelakkan ia menjangkiti kucing lain.
Sementara itu, pemilihan sangkar yang betul juga penting jika anda membela hamster.
Ini kerana ia akan menghabiskan sebahagian besar hayatnya di dalam sangkar berkenaan.
Hamster memerlukan sangkar yang mudah dibersihkan, cukup lapang untuk mereka berlari dan sudah tentu, kalis melarikan diri.
Terdapat lebih daripada 20 jenis hamster yang berbeza, tetapi tiga spesies utama iaitu hamster Syria, dwarf (kerdil) dan Cina adalah yang paling popular dipelihara sebagai haiwan peliharaan.
Saiz minimum ruang yang diperlukan untuk setiap hamster Syria ialah kira-kira 22.86 meter (900 inci) persegi keluasan lantai.
Ini bersamaan 40 ◊ 20 inci untuk sangkar standard, dengan kedalaman tempat tidur bersaiz 0.25 meter (10 inci)
Untuk memuatkan peralatan tempat tidur dan roda kecil, ketinggian sangkar mestilah sekurang-kurangnya 0.6 meter (24 inci) tinggi.
Walaupun saiznya kecil, hamster Cina dan kerdil masih memerlukan kawasan yang mencukupi untuk bergerak.
Ruang lantai terbaik adalah kira-kita 17.78 meter (700 inci persegi) atau kira-kira 40 ◊ 15 inci bagi setiap hamster.
Ia hanyalah cadangan asas kerana sekiranya ruang yang disediakan lebih besar, hamster pastinya lebih gembira bermain di sana- sini.
© New Straits Times Press (M) Bhd