am@hmetro.com.my
Alor Setar: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan membuat laporan polis terhadap pihak yang didakwa memanipulasi kenyataannya dalam ceramah di Negeri Sembilan kelmarin .
Beliau berkata, tindakan undang-undang termasuk saman juga akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang sengaja memutar belit kenyataannya bagi kepentingan politik.
“Saya sebut benda yang fakta sahaja. Siapa-siapa yang cuba memanipulasi isu ini untuk kepentingan politik, saya akan saman.
“Saya akan buat laporan polis balas. Saya akan ambil tindakan undang-undang untuk membetulkan keadaan. Jangan cuba untuk memesongkan fakta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kebajikan Haiwan, Himpunan Lembu Sado Malaya dan Sambutan World Rabies Day peringkat negeri Kedah di Suka Menanti, hari ini.
Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PN berkata, kenyataannya sebelum ini hanya menyentuh fakta sejarah sahaja dan tidak mereka-reka cerita.
Malah katanya, ucapan beliau pada malam itu tidak dituju kepada individu tertentu.
“Berbutir, terus terang. Butiran dia jelas. Saja orang nak manipulasi, dia ambil sekerat, dia ulas, dia tambah sendiri. Lepas itu dia buat isu. Itu saja.
“Kalau yang faham bahasa Melayu, takkan bahasa Malaysia orang tak faham. Saja digembar-gemburkan untuk meraih keuntungan politik dan memburukkan saya,” katanya.
Beliau turut menegaskan sejarah tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mencetuskan ketegangan kerana ia adalah fakta yang perlu dipelajari bagi memahami peristiwa lampau serta merancang masa depan.
Katanya, apa yang diucapkan boleh dirujuk di mana-mana buku sejarah serta pakar.
“Saya cerita bab sejarah. Takkan tak faham. Saja nak menimbulkan ketegangan. Bukan saya yang timbulkan ketegangan, mereka yang menimbulkan ketegangan.
“Sejarah tidak pernah menimbulkan ketegangan. Sejarah adalah fakta yang perlu diketahui dan dipelajari untuk memahami apa yang berlaku pada masa lalu, apa yang sedang berlaku sekarang dan merancang masa depan…itulah sejarah,” katanya.
Beliau berkata, pihak yang menyebarkan video atau laporan yang didakwa tidak menggambarkan kenyataan sebenar perlu bertanggungjawab terhadap tindakan mereka.
“Saya tak tahu siapa. Saya tak kenal orang itu pun. Mereka tak popular. Kalau cari populariti di atas video-video macam itu. Apa bendalah.
“Mereka hantar video kata ada orang buat laporan polis, saya akan buat laporan balas kalau dia memesongkan apa yang saya cakap.
“Saya cakap benda lain, dia kata benda lain. Saya tak kata apa yang dia kata saya kata. Cakap benda yang betul. Kita tak perlu takut selagi kita betul. Yang takut itu sebab dia tak betul,” katanya.
Dalam ceramahnya di Jempol malam semalam dilaporkan berkata “Tanah Melayu” adalah satu-satunya tempat tinggal orang Melayu, tidak seperti kaum lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd




