Sanusi tak tahu permohonan tukar tanam Musang King Jun lalu

Sanusi tak tahu permohonan tukar tanam Musang King Jun lalu

ALOR SETAR: Kerajaan negeri memaklumkan tidak tahu mengenai permohonan menukar tanaman Timber Latex Clone (TLC) iaitu pokok getah kepada penanaman durian Musang King pada Jun lalu, seperti yang didedahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), kelmarin.

Namun, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan, durian Musang King tidak termasuk dalam senarai tujuh spesies yang dibenarkan dalam penanaman untuk ladang hutan.

“Saya tak tahu itu (permohonan tukar tanaman pada Jun) kerana dari awal kalau masih ingat Julai 2020 saya dah katakan setahu saya ada tujuh spesies yang dibenarkan ladang hutan, durian tak masuk. 

“Kemudian itu diberitahu dibenarkan 20 peratus, kalau nak tanam semua kena mohon. Lulus tak lulus saya tak tahu. Kalau dia baru mohon kemungkinan tak lulus, kemungkinan lulus,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Belia peringkat negeri di sini, petang ini.

Utusan Malaysia melaporkan, Ketua Pengarah JAS, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, Kerajaan Negeri Kedah melalui Mesyuarat Exconya telah meluluskan lebih kurang 20 peratus kawasan tersebut untuk ditukar dari tanaman TLC kepada tanaman durian Musang King tanpa membuat permohonan awal kepada JAS.

Beliau berkata, kerajaan negeri sepatutnya memohon kepada JAS terlebih dahulu bahawa ada perubahan komponen tanaman untuk menukar tanaman TLC kepada durian Musang King yang mana permohonan itu hanya diterima pada Jun lalu.

Sementara itu, Muhammad Sanusi menyelar tindakan pelbagai pihak yang tidak mahu menerima laporan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) yang dianggotai ratusan pakar tanpa sebarang kepentingan.

“Saya sejak awal tak mahu komen walaupun diprovok berkali-kali dan diheret oleh para inilah (media) nak suruh saya hentam orang itu, hentam orang ini. Saya kata tunggu pakar beri pandangan. 

“Selepas jawatan kuasa itu keluarkan laporan fakta dan angka saintifik pun tak mahu terima juga pasal orang ramai telah diheret untuk pergi kepada satu sudut sahaja. Ini tidak adil. Orang ramai perlu dibekalkan dengan maklumat yang cukup. 

“Ilmu yang benar, perspektif yang betul dengan fakta dan kajian yang munasabah telah dikeluarkan. Tapi orang tak mahu terima pasal apa,” katanya.

Menurut Muhammad Sanusi, sebagai kerajaan beliau tidak boleh bersikap demikian walaupun tidak suka dengan tanaman Musang King di puncak Gunung Inas yang memiliki kelulusan. 

“Dia ada kelulusan, kebenaran dan lalui proses itu semua (tetapi) bukanlah zaman saya. Tiba-tiba kita diheret untuk hentam dia. Dia boleh saman kita. Jadi kalau suka kerajaan negeri disaman, provoklah lagi. Saya tak mahu,” katanya.

Ketika mengulas kenyataan JAS bahawa kelulusan EIA bukan untuk tanaman Musang King, Muhammad Sanusi turut bersetuju dengan perkara itu dan hairan bagaimana ia boleh diteruskan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

“Masa jadi kerajaan mula-mula saya dah kata. (Musang King) tak termasuk dalam spesies dibenarkan. Saya hairan pasaipa (mengapa) ditanam, maka saya arah dihentikan,” tegasnya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri tidak akan menanam semula pokok di kawasan Gunung Inas yang digondol untuk pembalakan dan yang rosak akibat tragedi 4 Julai lalu kerana pokok hutan akan tumbuh secara semula jadi dan kembali menjadi hutan selepas 30 tahun.

“Insha Allah pokok hutan itu akan tumbuh sendiri, semua hutan di Kedah ini tidak ada siapa bawa benih pi tanam, semua Allah yang tumbuhkan, jadi nak pulih macam mana hutan,” katanya. – UTUSAN