am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan meneruskan saman terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang didakwa memfitnahnya mencuri unsur nadir bumi (REE) di Kedah.
Beliau berkata, saman itu diteruskan bagi menjaga maruah kerajaan negeri dan jawatan Menteri Besar yang dipegang beliau.
“Saya saman Saifuddin atas kapasiti waktu dia melaksanakan kempen pilihan raya negeri (PRN), dia guna jentera kerajaan untuk buat serangan, kita kumpul semua maklumat yang dilontarkannya semasa kempen, yang mana tidak benar kita saman dia.
“Saya bukan saman Menteri Dalam Negeri, saya saman Saifuddin Nasuiton Ismail, jangan salah faham, dia telah membuat kenyataan fitnah. Saya saman fitnah kepada beliau.
“Saya difahamkan kelmarin dia mohon untuk ditangguhkan, dia bagi alasan kesibukan tugas kepada negara, kita tak pasti mahkamah beri penangguhan atau tidak, kalau beri penangguhan tak apa, kita akan beri tarikh lain,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi berkata saman fitnah itu diharap akan menjadi pengajaran kepada semua pihak agar tidak sewenang-wenangnya melemparkan fitnah terhadap kerajaan negeri.
Katanya, beliau tidak mempunyai masalah sekiranya dirinya difitnah, namun beliau perlu menjaga kedudukan jawatan Menteri Besar yang dipegangnya.
“Yang dihentam hari itu bukan Sanusi Md Nor, tapi dia (Saifuddin) hentam Menteri besar Kedah, saya kena jaga kedudukan itu.
“Sanusi Md Nor kalau tinggal di Sik dan menoreh getah boleh hentam, bukan sapa-sapa, tapi saya menjawat jawatan Menteri Besar dan laksanakan amanah sebagai Menteri Besar dan pentadbiran kerajaan.
“Apabila dia fitnah, dia telah membuat satu kesilapan fitnah kepada agensi kerajaan dan kepada keputusan dibuat kerajaan, dan cakap berdasarkan fakta tidak benar, jadi kita saman,” katanya.
Beliau turut menasihatkan agar sesiapa pun tidak melakukan fitnah sesuka hati serta menganggap lebih bijak daripada orang lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd




