SHAH ALAM – Sapaan mesra “Selamat pagi!” dan “Apa khabar?” yang sekian lama menjadi rutin warga Universiti Putra Malaysia (UPM) kini hanya tinggal kenangan.
Kehangatan itu tidak lagi dirasai apabila bekas Polis Bantuan UPM, SB Sri Kantha Rao atau lebih dikenali sebagai Uncle Sri bersara secara rasmi pada 1 Mei lalu.

Uncle Sri bersara secara rasmi pada 1 Mei lalu selepas 37 tahun berkhidmat.
Figura yang sentiasa berdiri megah di pintu gerbang UPM sejak 13 Jun 1989 itu memulakan kerjaya sebagai pengawal keselamatan pada usia 19 tahun selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Sejujurnya, saya memang minat sangat nak jadi polis tapi tak dapat. Bila dapat tawaran di UPM sebagai pengawal keselamatan, saya terus terima kerana zaman itu susah nak dapat kerja,” katanya kepada Sinar Ahad.
Minatnya terhadap bidang kepolisan akhirnya menjadi kenyataan apabila beliau diserap sebagai Polis Bantuan selepas menamatkan latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Bukit Sentosa, Rawang pada 2014.
Bagi ribuan pelajar, Uncle Sri bukan sekadar menjaga keselamatan kampus, sebaliknya menjadi tempat mereka meluah perasaan dan berkongsi pelbagai masalah.
“Pelajar-pelajar di sini anggap saya macam ayah dan abang mereka. Bila ada masalah, mereka senang bercerita kepada saya. Saya sentiasa usaha bantu mereka kerana saya tahu kebanyakannya tinggal jauh daripada keluarga,” ujarnya.
Sepanjang 37 tahun berkhidmat, terlalu banyak cerita yang disimpan beliau, daripada kisah cinta hingga cabaran akademik.
Antara yang paling membekas di hatinya ialah kisah seorang pelajar tahun akhir yang buntu selepas draf tesisnya ditolak sebanyak tiga kali oleh penyelia.
Menurutnya, selepas mendengar keluhan mahasiswa itu, beliau menawarkan bantuan bagi memahami kehendak kajian dalam bahasa Inggeris.
Masa yang diluangkan bersama pelajar berkenaan di pondok pengawal bagi menyemak semula naskhah ilmiah itu akhirnya membuahkan hasil apabila kajian tersebut diterima pada percubaan seterusnya.
“Bagi saya, kejayaan mereka adalah satu kepuasan. Apabila pelajar itu datang semula semata-mata mengucapkan terima kasih selepas kajiannya diterima, rasa penat bekerja terus hilang,” katanya.

Uncle Sri bergambar bersama tesis pelajar yang disiapkan atas bantuannya.
Bekas pelajar tersebut yang kini merupakan Penolong Pengurus Ladang Pekan Barat, YP Plantation Holding Sdn Bhd, Muhammad Juzaily Mohd Shariff, 33, turut mengimbau kembali detik bermakna ketika majlis graduasinya pada 2016.
Menurutnya, pada hari bersejarah itu beliau nekad menjelajah sekitar kampus semata-mata mahu mencari Uncle Sri bagi mengucapkan penghargaan kepada insan yang banyak membantunya.
“Walaupun terpaksa mencari dari satu pondok pengawal ke pondok pengawal lain, saya tidak berputus asa sebelum akhirnya menemui Uncle Sri di Bangunan Canselori Putra.
“Di situ saya serahkan tesis kepada beliau sebagai tanda penghargaan. Sehingga hari ini kami masih berhubung. Setiap pagi beliau akan WhatsApp ucapan ‘Selamat pagi’ dan saya tidak pernah jemu membalasnya,” katanya.

Juzaily bersama Uncle Sri.
Namun, itu bukan satu-satunya kenangan yang terpahat dalam ingatan beliau. Uncle Sri turut membantu seorang pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) orang kurang upaya (OKU) selepas menerima panggilan meminta bantuan.
“Memandangkan keesokan harinya saya bertugas syif petang, saya tekad membantu. Atas faktor keselamatan dan kekangan fizikal pelajar itu, saya bergegas ke fakulti dan ambil masa empat jam untuk selesaikan masalah tersebut,” katanya.
Dedikasi luar biasanya turut diiktiraf apabila beliau menerima Penghargaan Khas Kualiti Perkhidmatan Pelanggan sempena Hari Kualiti dan Inovasi Perkhidmatan UPM pada 2018.
Kisah-kisah kecil yang dilakukan tanpa mengharapkan balasan akhirnya tular sehingga menarik perhatian media arus perdana.
“Saya pernah masuk TV3, TV AlHijrah dan Astro. Seronok sangat rasa masa itu sebab saya dapat bawa ahli keluarga sekali,” katanya.

Uncle Sri menerima anugerah di MGP 2026, UPM.
Sepanjang hampir empat dekad berkhidmat, beliau juga menyaksikan UPM berubah daripada kawasan pertanian dan ladang kepada sebuah universiti penyelidikan moden.
Mengimbau awal perkhidmatannya, Uncle Sri berkata, UPM ketika itu jauh berbeza berbanding hari ini apabila banyak kawasan kampus masih dikelilingi ladang dan unsur pertanian.
“Kawasan Kolej 10 dan 11 dulu merupakan Ladang 7 yang dipenuhi pokok durian gred D7. Buahnya besar sampai dua orang pun belum tentu habis makan sebiji.
“Kawasan Fakulti Kejuruteraan pula pernah jadi tapak tanaman anggur, manakala kolej-kolej kediaman seperti Kolej Pendeta Za’ba (KPZ) sehingga Kolej 16 dikelilingi pokok jambu, kopi dan koko,” katanya.
Kini selepas persaraan, Uncle Sri mahu memberi tumpuan kepada kesihatan, meluangkan masa bersama keluarga selain merancang untuk bercucuk tanam dan melancong.
Namun di sebalik semua perancangan baharu itu, ada satu perkara yang diakui paling sukar ditinggalkan.
“Kenangan disapa setiap hari oleh warga UPM menjadi antara perkara yang paling sukar untuk saya lupakan selepas persaraan ini,” ujarnya.



