am@hmetro.com.my
Baling: Selepas tiga hari pencarian kanak-kanak autistik, Muhammad Fayyad Affan Mohd Fakhri menemui jalan buntu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditutup hari ini.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar berkata, bagaimanapun bilik kawalan polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) tetap beroperasi untuk menerima sebarang maklumat berkaitan kehilangan kanak-kanak empat tahun itu.
Beliau berkata, anggota polis akan tetap melakukan rondaan setiap hari di kawasan Sungai Kupang bagi memantau perkembangan berkaitan.
“Walaupun operasi sudah memasuki tiga hari, tiada petunjuk diperoleh sepanjang pencarian
“Pos kawalan polis dan bomba di lokasi ditutup hari ini sebab pencarian makin jauh, namun anggota kita akan melakukan rondaan di sekitar kawasan setiap hari,” katanya ketika dihubungi hari ini
Azmi berkata, pencarian hari ini turut membabitkan aktiviti selaman oleh anggota penyelamat hingga ke Jambatan Kuala Pegang dan disambung lagi pada sebelah petang di kawasan sama.
“Radius pencarian hari ini tujuh hingga lapan kilometer di kawasan sungai tetapi tidak menemui sebarang bukti berkaitan mangsa.
“Kita tidak tahu sama ada mangsa jatuh dalam sungai atau hilang dalam hutan, namun pencarian terus dilakukan di kawasan yang disyaki,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, operasi yang dilakukan menggunakan bot di sekitar kawasan Sungai Kupang tidak menemui sebarang tanda.
Katanya, operasi ditutup pada 6.30 petang turut menggunakan khidmat anjing pengesan K9 bomba.
Muhammad Fayyad Affan dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kuarters JPS, Kampung Landak Paya, Kupang, Jumaat lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd