SAR petugas pengukuran sempadan ditangguh, lokasi dalam wilayah Brunei

SAR petugas pengukuran sempadan ditangguh, lokasi dalam wilayah Brunei

am@hmetro.com.my

Kuching: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang petugas pengukuran sempadan antarabangsa yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Ulu Temburong, menghadapi kesukaran berikutan lokasi kejadian berada dalam kawasan sempadan milik Brunei.

Berikutan itu, hasil perbincangan antara Ketua Polis Daerah Lawas, Deputi Superintendan Liong Tindan bersama agensi berkaitan, SAR tidak dapat dijalankan ketika ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, tindakan pemakluman kes orang hilang sudah dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada pihak Polis Negara Brunei, Interpol di Kuching serta Kedutaan Malaysia di negara berkenaan.

Beliau berkata, pihak berkuasa kini masih menunggu maklum balas dan arahan lanjut daripada pihak berkaitan sebelum sebarang operasi SAR dapat dilaksanakan.

Sementara itu katanya, Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) diaktifkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas bagi tujuan pengumpulan maklumat berhubung kes berkenaan.

“Berikutan situasi itu, pasukan SAR dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas menamatkan operasi awal pada jam 10.10 malam, Khamis lalu selepas mengambil kira faktor keselamatan dan bidang kuasa,” katanya.

Mangsa dikenali sebagai Donysius Gabriel Goh, 36, yang dilaporkan hilang ketika menjalankan tugas pengukuran sempadan antarabangsa bersama lima lagi rakan setugas.

JBPM menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.19 malam, Rabu dan tiga anggota dari BBP Lawas digerakkan ke lokasi bagi mendapatkan maklumat awal dan menilai keadaan sebelum operasi lanjut dijalankan.

Berdasarkan maklumat rakan setugas mangsa, kejadian dipercayai bermula kira-kira jam 4 petang, Selasa apabila semua petugas bergerak dari ‘base camp’ ke Sungai Ulu Temburong.

Bagaimanapun, keadaan cuaca bertukar buruk dengan hujan lebat sekitar jam 8.30 malam menyebabkan arus sungai menjadi deras dan berbahaya.

Semua petugas terbabit kemudian mengambil keputusan untuk bermalam dan mendirikan khemah di kawasan selamat berhampiran sungai berkenaan.

Bagaimanapun, ketika cuba menyeberangi sungai ke lokasi perkhemahan, seorang daripada mereka dihanyutkan arus deras sebelum hilang dari pandangan rakan-rakan.

Lima petugas yang terselamat cuba melakukan pencarian awal sebelum meneruskan usaha keesokan pagi dalam radius kira-kira 700 meter, namun mangsa masih belum ditemui sebelum mereka kembali ke base camp untuk mendapatkan bantuan.

Menurutnya lagi, berdasarkan maklumat tambahan yang diperolehi, kawasan kejadian itu berhampiran sungai yang dilitupi hutan tebal dengan laluan mencabar yang hanya dapat dilalui dengan berjalan kaki atau menggunakan helikopter serta tiada liputan telekomunikasi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top