Sara Duterte hadapi undian pemecatan kedua

Sara Duterte hadapi undian pemecatan kedua

MANILA: Jawatankuasa kongres Filipina bersetuju menghantar artikel pemecatan terhadap Naib Presiden, Sara Duterte kepada ahli Parlimen bagi undian yang akan menentukan masa depan politik beliau.

Anak bekas Presiden, Rodrigo Duterte itu pernah dipecat tahun lalu, tetapi Mahkamah Agung menolak kes itu kerana isu prosedur.

Di bawah Perlembagaan Filipina, pemecatan oleh Dewan Perwakilan Rakyat akan mencetuskan perbicaraan di Senat, di mana keputusan bersalah boleh melarang Sara memegang sebarang jawatan politik melalui pilihan rakyat seumur hidup.

Aduan baharu yang dianggap “mencukupi dari segi keabsahan dengan undian 54 berbalas satu, menuduh beliau terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa semasa memegang jawatan, serta membuat ancaman bunuh terhadap Presiden, Ferdinand Marcos Jr. yang juga bekas sekutu beliau.

“Undian kami hari ini bukan penghakiman bersalah atau tindakan kecaman. Ia hanya keputusan sama ada proses Perlembagaan harus diteruskan,” kata Wakil Parlimen, Ferdinand Hernandez beberapa minit sebelum undian.

Penganalisis menegaskan pengumuman Sara untuk bertanding jawatan Presiden mempengaruhi ahli Parlimen menilai implikasi undian pemecatan terhadap seseorang yang mungkin memegang jawatan tertinggi negara itu kelak.

Ancaman bunuh yang didakwa terhadap Marcos Jr. berpunca daripada taklimat media lewat malam, di mana beliau mendakwa mengupah pembunuh untuk menamatkan nyawa Presiden dan ahli keluarganya jika beliau dicederakan terlebih dahulu.

Walaupun beliau kemudian menyatakan komen itu disalah tafsir, ahli Parlimen, Gerville Luistro berkata, ancaman itu boleh menjejaskan kestabilan institusi.

“Ia memberi impak dan menimbulkan ketakutan,” katanya.

Sara dan Marcos Jr. terlibat dalam pertelingkahan politik berisiko tinggi sejak beberapa minggu selepas kemenangan mereka dalam pilihan raya 2022, apabila naib Presiden itu tidak diberikan portfolio Kabinet pilihan dan sebaliknya dilantik sebagai setiausaha pendidikan.

Bulan lalu, jawatankuasa kehakiman menolak dua aduan pemecatan terhadap Marcos Jr., dengan alasan dakwaan rasuah berkaitan projek kawalan banjir palsu tidak mempunyai asas kukuh.

Di Filipina, hanya satu pertiga Dewan Perwakilan Rakyat perlu mengundi menyokong pemecatan agar kes itu diteruskan ke Senat.-AFP

Scroll to Top