aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketika umat Islam di Malaysia bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri esok, atlet lompat bergalah negara, Nor Sarah Adi memilih untuk ‘beraya’ di bumi Taiwan demi menggalas cabaran negara di pentas antarabangsa.
Atlet negara itu menjadi antara sandaran utama di dua kejohanan iaitu Kejohanan Lompat Bergalah Antarabangsa Taiwan serta 2026 Kejohanan Jemputan Lompat Bergalah Nantou-Sun Moon Lake yang berlangsung pada 22 hingga 25 Mac ini.
Lebih menyentuh hati, penyertaan itu hadir ketika suasana Syawal menjelma, namun Nor Sarah menganggap pengorbanan meninggalkan keluarga adalah sebahagian daripada perjalanan sebagai atlet elit.
“Bila kita pilih jalan ini, itu adalah pengorbanan. Sejak saya dalam skuad kebangsaan, memang sudah biasa tak dapat beraya bersama keluarga.
“Tapi saya tetap akan buat yang terbaik di sana, dan bagi saya, itulah raya sebenar,” katanya.
Menurut Nor Sarah, kejohanan di Taiwan menjadi medan penting buat dirinya memulakan musim 2026, selain menjadi pengalaman pertama mengharungi pertandingan dalam dan luar dewan dalam satu siri kejohanan.
Katanya, dia tidak mahu meletakkan tekanan tinggi sebaliknya mahu kembali mendapatkan rentak terbaik serta menyamai catatan peribadi (PB) sebelum mengatur langkah seterusnya dalam kalendar pertandingan.
“Saya tak letak sasaran terlalu tinggi. Fokus saya adalah untuk dapatkan semula PB dan lihat semula keseimbangan larian serta teknik. Dari situ baru kita rancang untuk kejohanan akan datang,” katanya.
Sementara itu, jurulatihnya, Roslinda Samsu memaklumkan empat atlet akan menggalas cabaran negara di kejohanan itu.
Menurut Roslinda, kejohanan itu adalah pentas pertama buat kesemua atlet berkenaan tahun ini, justeru sasaran utama adalah melihat mereka menyamai atau memperbaharui catatan peribadi masing-masing.
“Saya tak letak sasaran pingat. Kalau ada atlet dapat buat catatan terbaik, itu sudah memadai dan kalau hadir bersama pingat, itu bonus.
“Kita tahu saingan di sana sangat sengit, jadi atlet perlu buat yang terbaik,” katanya.
Mengulas mengenai sambutan Aidilfitri yang perlu dilalui di luar negara, Roslinda berkata keputusan itu dibuat bersama atlet lebih awal dan semua sudah bersedia dari segi mental.
“Kami sudah dapat jadual sejak Disember lagi dan saya sudah tanya atlet. Semua setuju dan bersedia. Jadi saya percaya ia tidak ganggu fokus mereka,” katanya.
Hakikatnya, pengorbanan Nor Sarah dan rakan sepasukan bukan sekadar meninggalkan suasana pagi Syawal, tetapi membawa bersama harapan rakyat Malaysia yang mahu melihat Jalur Gemilang terus megah di pentas dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




