mhafis@mediaprima.com.my
Klang: Seorang wanita warga Indonesia beragama Islam sanggup mencemar bulan Ramadan dengan bekerja sebagai pelacur di siang hari.
Malah, wanita Ingin dikenali Mimi, 29, tahun itu, turut mengaku baru menghisap syabu ketika ditahan di kawasan deretan rumah kedai usang di Jalan Kem, di sini, yang dijadikan sarang pelacuran.
Kegiatan mereka itu terbongkar selepas diserbu Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah ( JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor jam 1.15 tengah hari tadi.
Dalam operasi itu seramai 23 orang ditahan terdiri 18 disyaki pelacur, seorang penjaga dan empat pelanggan.
Mimi ketika ditemui berkata, dia berasal dari Batam, Indonesia dan baru dua bulan datang ke sini dan menyewa bilik dengan harga RM800 sebulan.
Menurutnya, bilik itu juga dijadikan tempat dia melacur dengan harga serendah RM70 untuk khidmat seks.
“Pelanggan saya terdiri pelbagai ada warga tempatan dan warga asing dan sehari saya hanya mengambil lima pelanggan sahaja.
“Dadah ini pula saya beli untuk sekali hisap RM50,” katanya.
Wartawan yang mengikuti operasi itu mendapati deretan rumah kedai yang diubah suai menjadi bilik kecil itu dalam keadaan berbau busuk dan kotor.
Malah ada juga pintu rahsia bagi membolehkan mereka melarikan diri ketika diserbu ditemui ketika operasi.
Sementara itu, satu kenyataan media akan dikeluarkan polis berhubung operasi ini.
Difahamkan sarang pelacuran terbabit pernah diserbu sebelum ini namun kembali beroperasi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




