mdroji@bh.com.my
Kuching : Pelan pengurusan buaya yang lebih komprehensif membabitkan pakar antarabangsa sedang dirangka kerajaan Sarawak bagi menangani konflik antara manusia dan reptilia ganas itu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, bagi tujuan itu kerjasama strategik dimeterai menerusi Memorandum Perjanjian (MoA) antara Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Wildlife Management International Pty Ltd (WMI) Darwin, Australia.
Beliau berkata, WMI akan membantu dalam penggubalan pelan pengurusan buaya dan memberi latihan kepada pegawai SFC bagi meningkatkan pengurusan buaya di Sarawak.
“Penyediaan pelan itu akan mengambil masa selama satu tahun dan laporan awal akan dikemukakan pada Disember 2024 bagi memberi gambaran mengenai langkah yang perlu diambil.
“Penyediaan ‘Crocodile Rules’ sudah dirangka dan kini dalam peringkat semakan akhir sebelum dikemukakan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk kelulusan,” katanya ketika ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, berkata, pelan itu dirangka kerana kerajaan Sarawak prihatin dalam usaha mengurangkan risiko serangan buaya berikutan kini dianggarkan kira-kira 25,000 di dalam 22 lembangan sungai di Sarawak.
Menurutnya, beberapa inisiatif sudah dan sedang dijalankan antaranya melancarkan operasi pemantauan dengan dalam tempoh Januari hingga Oktober lalu, sebanyak 40 operasi dilaksanakan oleh SFC.
“Hasilnya 35 ekor buaya berjaya dipindahkan dari kawasan berhampiran penduduk ke tempat yang bersesuaian,” katanya.
Selain itu katanya, sebanyak 55 lesen memburu buaya dikeluarkan dan 234 papan tanda amaran telah dipasang di kawasan berisiko tinggi di seluruh Sarawak.
“Pada masa yang sama 13 program kesedaran 3M (Mengenal, Memahami, Memulihara) buaya sudah diadakan,” katanya.
Menurutnya, bagi meningkatkan keselamatan penduduk dan menyokong pemuliharaan buaya, aplikasi mudah alih Sarawak CrocWatch dibangunkan oleh SFC dan Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS).
“Aplikasi itu dilancarkan pada September 2024 bertujuan membantu orang awam melaporkan penampakan buaya, seiring dengan usaha mengurangkan konflik di antara manusia dan buaya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd