Kuala Lumpur: Segmen Grid Tenaga ASEAN (APG) yang dikaitkan dengan Sarawak sedang membentuk satu pemangkin penting dalam usaha penyahkarbonan serantau, kata seorang pakar.
Katanya, ia membekalkan tenaga hidro rendah karbon bagi menggantikan penjanaan bahan api fosil di seluruh Asia Tenggara.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Sarawak mempunyai potensi untuk menjadi hab tenaga utama bagi Malaysia dan ASEAN.
Negeri itu juga boleh memainkan peranan penting dalam inisiatif APG dengan sumber tenaganya yang kaya termasuk tenaga hidro, gas dan hidrogen.
Rakan Kongsi Arthur D Little South East Asia dan Ketua Amalan Tenaga, Utiliti dan Sumber Asli, Trung Ghi berkata, kerjasama tiga pihak pada skala ini mengukuhkan penjajaran kawal selia dan mempercepatkan kesiapsiagaan institusi.
Langkah ini diambil ketika Sarawak menyasarkan peningkatan hampir tiga kali ganda dalam kapasiti tenaga boleh baharu kepada 15 gigawatt (GW) menjelang 2035, sekali gus meletakkan negeri itu sebagai peneraju tenaga serantau.
Menurut Pelan Strategik 2035 Sarawak Energy, pengembangan ini merangkumi pembangunan berterusan tenaga hidro, peningkatan skala tenaga solar dan pelaksanaan penggunaan hidrogen.
“Sasaran 15GW merupakan satu cita-cita tinggi tetapi boleh dicapai dengan pemangkin yang tepat.
“Pembangunan berterusan tenaga hidro, peningkatan skala tenaga solar dan pelaksanaan penggunaan hidrogen akan menjadi elemen kritikal. Jika direalisasikan, ia akan meningkatkan kapasiti eksport Sarawak secara signifikan sambil memperkukuh keselamatan tenaga dalam negara,” katanya.
Trung berkata, demikian kepada Bernama dalam satu temu bual secara bertulis baru-baru ini.
Malaysia kini meneroka dua laluan penghantaran rentas sempadan iaitu satu melalui darat merentasi Semenanjung dan satu lagi melalui kabel bawah laut terus ke Singapura.
Trung berkata, laluan yang terlebih dahulu memperoleh pembiayaan, permit dan perjanjian pembelian tenaga berkemungkinan besar akan diteruskan.
“Kecekapan kos dan penjajaran geopolitik merupakan pertimbangan utama. Laluan melalui Semenanjung mungkin lebih cepat dan murah manakala akses langsung ke pasaran premium Singapura boleh menawarkan pulangan komersial yang lebih tinggi,” katanya.
Namun, melaksanakan projek sebegini yang merentas pelbagai bidang kuasa tetap kompleks, kata Trung.
Jelasnya, pemerolehan tanah, kelulusan alam sekitar, peraturan maritim dan penyelarasan kod grid hanyalah sebahagian daripada cabaran yang akan dihadapi.
“Penyelarasan berterusan antara kerajaan, pengawal selia dan pemain industri akan menjadi amat penting,” katanya.
Walaupun ASEAN sangat bergantung kepada bahan api fosil, grid tenaga serantau menawarkan penyelesaian struktur jangka panjang untuk pengurangan pelepasan karbon, jika infrastruktur, peraturan dan pasaran diselaraskan dengan berkesan.
Pada Mei, Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn dilaporkan berkata visi APG memerlukan anggaran pelaburan sebanyak US$764 bilion (US$1 = RM4.23) bagi infrastruktur penjanaan dan penghantaran tenaga.
“Menggerakkan tahap modal sebegini memerlukan persekitaran kawal selia yang stabil dan rangkaian projek yang jelas,” kata Trung.
Bagi menyokong perkara ini, Rangka Kerja Kemudahan Kewangan Grid Tenaga ASEAN yang dibangunkan bersama Asian Development Bank (ADB) dan Bank Dunia, dijangka dilancarkan pada Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober 2025.
“ADB menunjukkan kesediaannya untuk melabur sehingga US$10 bilion bagi infrastruktur tenaga rentas sempadan,” tambah Trung.
Melangkah ke hadapan, Trung menjangkakan kejayaan Sarawak boleh menjadi model contoh bagi rangkaian subserantau lain seperti Thailand, Laos, Kemboja, Indonesia, Brunei serta Semenanjung.
“Walaupun setiap wilayah mempunyai dinamik yang berbeza, idea menghubungkan lebihan penjanaan kepada pusat permintaan tinggi melalui infrastruktur rentas sempadan boleh disesuaikan dan direplikasi,” katanya.
Trung juga berkata, ASEAN boleh mengambil pengajaran daripada rangkaian ENTSO-E di Eropah dan Koridor Tenaga Jalur dan Laluan China terutamanya dari segi penyelarasan pusat, penyelarasan teknikal dan keyakinan pelabur.
Menurut Trung, instrumen kewangan iklim termasuk bon hijau, pembiayaan campuran dan mekanisme berkaitan karbon juga dijangka memainkan peranan yang semakin penting dalam membiayai peralihan tenaga bersih serantau.
“Bon hijau boleh mengurangkan kos pembiayaan untuk infrastruktur manakala pembiayaan campuran dan kredit karbon membantu menangani risiko peringkat awal serta memanfaatkan pengurangan pelepasan karbon,” jelasnya.
Seiring dengan kemajuan APG, beliau berkata model eksport tenaga hidro yang dipacu oleh Sarawak berpotensi memainkan peranan penting dalam mengubah landskap tenaga serantau sekali gus menandakan titik perubahan dalam usaha mencapai pertumbuhan lestari dan daya tahan tenaga.
© New Straits Times Press (M) Bhd