Sarawak pemegang Guinness World Records, Perjalanan GPS Terpanjang Menggunakan Dron

Sarawak pemegang Guinness World Records, Perjalanan GPS Terpanjang Menggunakan Dron

am@hmetro.com.my

Kuching: Sarawak sekali lagi mengharumkan nama di peringkat antarabangsa menerusi Sarawak Tourism Board (STB) apabila berjaya mencipta sejarah sebagai pemegang Guinness World Records bagi kategori Perjalanan GPS Terpanjang Menggunakan Dron.

Rekod berprestij itu dicapai menerusi rakaman khas untuk filem dokumentari bertajuk Gateway to Borneo yang merakam perjalanan dron bermula dari Tanjung Datu di barat Sarawak, merentasi bahagian utama negeri ini sehingga ke Lawas di utara.

Rakaman bersejarah itu memaparkan keindahan dan keunikan landskap Borneo termasuk pantai-pantai eksotik, khazanah alam semula jadi, Gua Niah, serta formasi batu kapur ikonik Pinnacles di Taman Negara Gunung Mulu.

Selain Sarawak, perjalanan dron ini turut merangkumi beberapa lokasi di Brunei Darussalam, Kalimantan, Indonesia, dan Sabah, sekali gus menonjolkan kepelbagaian geografi serta warisan alam Borneo secara menyeluruh.

Pengiktirafan rasmi Guinness World Records disampaikan Pegawai Penilai Guinness World Records, Jacob Yip Cheong Wai dari Hong Kong kepada Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pada sambutan ambang tahun 2026 di Tebingan Kuching malam tadi.

Pencapaian luar biasa ini bukan sahaja membuktikan keupayaan Sarawak dalam penggunaan teknologi dron bertaraf dunia.

Malah ia turut memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi dan penerbitan kandungan kreatif di peringkat global.

Kejayaan ini dijangka menjadi pemangkin kepada usaha promosi pelancongan Sarawak serta membuka lebih banyak peluang dalam industri kreatif dan teknologi pada masa hadapan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top