Sarawak peruntuk RM10.646 bilion Belanjawan Negeri 2022 – Utusan Digital

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini mengumumkan belanjawan negeri untuk tahun 2022 yang berjumlah RM10.646 bilion.

Daripada jumlah itu, RM6.6 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan dan RM4.046 bilion untuk perbelanjaan pengoperasian.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tupong Fazzrudin Abdul Rahman yang menyatakan sokongan beliau terhadap belanjawan negeri itu berkata ia bersifat inklusif, berteraskan rakyat (people-centric) dan meneruskan kesinambungan agenda pembangunan di Sarawak.

Menurut Fazzrudin, Belanjawan Negeri 2022 itu bersifat expansionary adalah untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat yang berteraskan protecting lives and livelihood iaitu menyelamatkan nyawa dan memastikan kelangsungan hidup semasa pandemik Covid-19.

MESYUARAT Khas Pembentangan Belanjawan Negeri Sarawak 2022, di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) hari ini.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Beliau berkata, walaupun dinyatakan dalam Seksyen 11 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 bahawa belanjawan tidak perlu mendapatkan kelulusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, kerajaan negeri bawah pimpinan ketua menteri telah mengambil inisiatif untuk mengadakan sesi libat urus bersama semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Sesi libat urus tersebut diadakan bertujuan menerangkan pendekatan kerajaan negeri dalam menggubal belanjawan negeri untuk tahun hadapan dan memberi penjelasan berkenaan dengan isu-isu berbangkit.

“Ia juga untuk memastikan tadbir urus yang baik, ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam menggunakan dana rakyat,” katanya.

Pada sesi itu ketua menteri telah mengumumkan satu setengah bulan bantuan kewangan khas bagi kakitangan perkhidmatan awam dan RM500 untuk kakitangan awam persekutuan yang berkhidmat di negeri ini.

Sementara itu Fazzrudin berkata, kerajaan negeri menyambut baik penyertaan belia dalam proses demokrasi negara melalui pelaksanaan Undi18.

Beliau berkata, belia masa kini sudahpun matang, berpengetahuan dan telah mendapat pendedahan sewajarnya dalam proses pentadbiran negara.

“Golongan ini juga cakna dengan perkembangan politik semasa dan juga dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Bagi kerajaan negeri, ia telah mewujudkan pelbagai inisiatif dan program yang telah memberi manfaat kepada golongan belia, khususnya dari segi pendidikan,” kata beliau.

Antaranya, menurut Fazzrudin ialah insentif untuk membayar 30 peratus daripada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada yang peminjam yang layak.

Selain itu, katanya kerajaan negeri juga telah mewujudkan inisiatif Graduan Pulang Sarawak (iGPS) untuk pelajar Sarawak yang belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) di Semenanjung, Sabah dan Labuan.

“Ini juga disokong oleh Sarawak Volunteers (SV) yang membantu anak-anak Sarawak yang berada di Semenanjung, Sabah dan Labuan yang berdepan masalah dan kesulitan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik Covid-19.

“Ini adalah usaha berterusan kerajaan negeri dalam memberi manfaat kepada golongan belia dan saya percaya, golongan belia dapat menilai dengan sendiri pentadbiran dan dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan dalam memperkasakan peranan belia,” tambah beliau.- UTUSAN ONLINE