Sarawak tidak terburu-buru lombong REE

Sarawak tidak terburu-buru lombong REE

mdroji@bh.com.my

Kuching: Sarawak tidak terburu-buru untuk melombong unsur nadir bumi atau Rare Earth Element (REE) kerana tumpuan kini lebih kepada mineral lain.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, walaupun kajian mengenai REE dilaksanakan, namun kerajaan negeri belum berhasrat untuk melombongnya kerana dikhuatiri menyebabkan kemusnahan alam sekitar.

“Perlombongan ini (REE) memerlukan kajian yang cukup teliti kerana ia boleh menjejaskan persekitaran.

“Jadi bagi saya, jika kita ada pilihan, mengapa harus kita melaksanakan industri yang boleh menjejaskan alam sekitar kerana kita memiliki industri lain yang lebih bersih dan mesra alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Chia Hia Khor Moral Uplifting Society Sarawak (CHKMUS) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Timbalan Premier, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian serta Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Terdahulu beliau diminta mengulas berkenaan rekod Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), yang menyenaraikan Sarawak antara 10 negeri yang dikenal pasti berpotensi miliki REE dengan jangkaan nilaian sebanyak RM809.6 bilion selain Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Selangor.

Abang Johari berkata, Sarawak akan meneliti untuk melaksanakan perlombongan REE jika tiada pilihan lain atau keadaan mendesak.

“Melainkan terdesak, (sekarang) kita tidak terdesak terdesak kerana kita ada industri lain untuk menjana pendapatan, jadi sekarang ini kita simpan dahulu (REE),” katanya.

Mengenai perkembangan pengambilalihan MASwings, Abang Johari berkata, secara prinsipnya syarikat penerbangan itu sudah dimiliki Sarawak, cuma perjanjian mengenainya belum ditandatangani.

Menurutnya, ini kerana juru audit kedua-dua pihak iaitu kerajaan Sarawak dan Malaysia Aviation Group (MAG) belum memuktamadkan nilai pengambilalihan aset MASwings.

“Kita (Kementerian Pengangkutan Sarawak) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pada dasarnya sudah bersetuju cuma kita belum boleh menandatangani perjanjian pengambilalihan.

“Ini kerana pihak ketiga iaitu juru audit belum mencapai kata putus berkenaan nilai pengambilalihan aset MASwings.

“Kerajaan Sarawak ada nilainya sendiri dan mereka juga meletakkan nilai tertentu,” katanya.

Menurutnya, isu nilai pengambilalihan aset itu sepatutnya diselesaikan bulan ini, namun dengan lanjutan rundingan antara juru audit, beliau menjangkakan MASwings akan sah menjadi milik Sarawak dalam suku pertama tahun depan.

Baru-baru ini, Abang Johari mengumumkan, apabila MASwings dimiliki Sarawak, ia tidak hanya akan menyediakan penerbangan antara wilayah Sarawak dan Sabah sahaja malah akan turut menyediakan penerbangan antarabangsa ke beberapa destinasi antaranya Korea, Jepun, Hong Kong, Bangkok di Thailand, Jakarta di Indonesia dan Frankfurt, Jerman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top