Melaka: Jurulatih Sarawak United, E Elavarasan yakin tiga kemenangan berturut- turut tanpa bolos menjadi motivasi postif buat anak buahnya mengharungi saingan Liga Perdana musim ini.
Walaupun masih terlalu awal meramal sebarang kemungkinan, dia melihat setiap usaha pemain untuk menterjemah kemenangan amat membanggakan.
Malah kemenangan 2-0 ke atas Kuching City FC dalam pertemuan sukar di Stadium Hang Hebat, Paya Rumput semalam memberi gambaran mereka dalam landasan terbaik untuk mengekalkan rekod tanpa kalah.
Katanya, pujian pada semua pemain termasuk barisan pertahanan termasuk penjaga gol berpengalaman Mohd Sarbinee Allawee yang cemerlang di muka gawang.
“Apapun, kami akan mengharungi ujian lebih getir dengan setiap pasukan akan berusaha memberi tekanan kepada kami. Justeru apa yang penting peningkatan corak permainan akan diberi penekanan sepanjang sesi latihan.
Pasukan perlu meraih sebanyak kemenangan kerana ianya penting untuk memastikan moral pemain sentiasa berada pada graf terbaik dalam merealisasikan pencapaian dan sasaran pengurusan,”katanya.
Sementara itu penolong jurulatih Kuching City, Sulaiman Hussin berkata, pasukannya bermain begitu baik berbanding perlawanan awal sebelum ini.
Menurutnya, mereka berjaya menguasai permainan namun ketumpulan jentera serangan dan kesilapan ketika bertahan menjadi pemusnah untuk pasukan sekurang-kurangnya pulang satu mata.