bhnews@bh.com.my
KOTA KINABALU: Saringan kontak rapat menjadi penyumbang utama peningkatan kes COVID-19 di Sabah yang mencecah sehingga empat angka sejak tiga hari lalu.
Jurucakap perkembangan COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata jumlah kes positif COVID-19 Sabah pada hari ini merekodkan kes paling tinggi setakat ini, iaitu sebanyak 1,166 kes berbanding 1,002 kes yang dicatatkan semalam.
“Saringan kontak rapat terus menyumbang kes positif yang terbanyak iaitu 674 kes atau 57.8 peratus, berbanding saringan bergejala yang mencatatkan 171 (14.67 peratus) dan sebanyak 147 kes (12.61 peratus) daripada kluster yang sedia ada.
“Kota Kinabalu sahaja mencatatkan 234 kes baharu, Penampang (123); Tawau (106); Beaufort (84); Tuaran (83); Papar (73) Kunak (68); Sandakan (61); Keningau (59); Tenom (41); Ranau (40) dan Telupid (38) kes. Tidak ada daerah yang mencatatkan sifar kes.
“Jumlah kontak rapat yang begitu tinggi satu petunjuk begitu ramai orang sudah terdedah kepada jangkitan COVID-19.
“Seluruh daerah di Sabah juga mencatatkan perubahan angka kes positif COVID-19 yang terus meningkat. Ini dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Masidi turut berkata pihaknya menyifatkan sekatan pergerakan tidak lagi menjadi kaedah berkesan, sebaliknya vaksinasi perlu dipercepat bagi membendung penularan COVID-19.
“Dalam situasi virus COVID-19 sudah tersebar luas dalam masyarakat dan dalam kawasan yang luas, ‘lockdown’ bukan lagi kaedah yang berkesan untuk membendung penularan.
“Appa yang perlu dibuat ialah mempercepatkan vaksinasi dalam kalangan penduduk dan Sabah menerima bekalan vaksin yang banyak pada minggu ketiga bulan Julai.
“Sejak 21 hingga 31 Julai lalu, Jabatan Kesihatan Sabah berjaya memberi 374,214 dos vaksin dan menjadi harapan kita untuk meneruskan vaksinasi pada kadar purata 50,000 dos sehari dalam bulan Ogos ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




