Sarjan maut dalam perjalanan ke tempat kerja, kereta rempuh treler berundur

Sarjan maut dalam perjalanan ke tempat kerja,  kereta rempuh treler berundur

am@hmetro.com.my

Muar: “Arwah sangat rajin bekerja, berdisiplin, patuhi arahan,” demikian kata Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani selepas salah seorang anggota maut dalam kemalangan awal pagi ini.

Allahyarham Sarjan Ishak Abdul Kadir, 55, anggota bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) maut selepas kereta dipandu merempuh treler berundur.

Sebelum kejadian berlaku sekitar jam 6 pagi, mangsa dalam perjalanan dari Muar ke tempat kerja di IPD Batu Pahat.

Shahrulanuar berkata, arwah dikenali ramai kerana sentiasa bergaul mesra dengan rakan setugas lain.

“Arwah rajin bertanya jika menghadapi sebarang masalah, kami kehilangan seorang anggota yang berdedikasi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata pihaknya menerima laporan kemalangan maut pada jam 6.30 pagi antara treler dan kereta.

Beliau berkata, nahas berlaku di Jalan Parit Kangkong, Parit Jawa, di sini ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Hasil siasatan awal mendapati treler dipandu lelaki berusia 23 tahun sedang berundur dalam keadaan melintang di atas jalan raya.

“Pada masa sama, kereta dipandu mangsa dari arah pekan Parit Jawa menghala ke Batu Pahat gagal mengelak lalu merempuh treler terbabit.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Saksi melihat kejadian itu untuk menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Siti Ayu Mohamad Japri di talian 010-7724650 atau tampil ke balai polis berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top