sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Speedy Tigers berharap kecergasan setiap pemain negara berada di tahap terbaik untuk mengharungi jadual padat di Super 4 Piala Asia yang akan bermula pada 3 September depan di Stadium Hoki Universiti Sukan Bihar, India.
Ketua jurulatih negara, Sarjit Singh berkata, perkara itu amat penting kerana mereka akan bertemu dengan pasukan yang lebih kuat dan setiap pasukan akan memberi lebih tumpuan di Super 4 dalam usaha memburu dua kedudukan terbaik bagi beraksi di final.
Justeru, sekiranya kecederaan melanda kem negara, itu akan menjejaskan perancangan yang sudah diatur.
“Untuk Super 4 ini, jadualnya agak padat kerana dalam tempoh lima hari kami perlu bermain empat perlawanan. Jurang rehat sangat singkat, jadi kami berharap dapat mengelak masalah kecederaan sepanjang aksi Super 4 nanti,” katanya.
Sebelum itu, anak buah Sarjit akan turun terlebih dahulu menentang menentang China esok dan beliau menyatakan fokus mereka hanyalah untuk mendapatkan kemenangan sahaja.
“Sebelum bertemu China, kami terlebih dahulu menentang Korea (Selatan) semalam dan berdepan sedikit masalah kecederaan. Jadi, kami perlu pulih dan berehat secukupnya. Harapan kami adalah semuanya akan berjalan lancar.
“Fokus kami sekarang adalah untuk mengutip tiga mata penuh menentang China kerana itu akan menjadi penentu buat pasukan. Paling penting ialah layak ke peringkat Super 4,” katanya.
Untuk makluman, Malaysia sudah mengesahkan tempat ke Super 4 selepas mencatat dua kemenangan awal ke atas Korea (4-1) dan China (4-1).
© New Straits Times Press (M) Bhd




