Sarjit persoal keputusan pengadil

Sarjit persoal keputusan pengadil

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih Speedy Tigers, Sarjit Singh seakan-akan sukar menerima keputusan dilakukan pengadil pada minit-minit akhir perlawanan yang menyaksikan mereka gagal mengesahkan slot ke separuh akhir pada saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 di Hulunbuir, China.

Jelasnya, anak buahnya berhak mengecapi kemenangan itu selepas menampilkan aksi begitu konsisten dan cemerlang sehingga berjaya mendahului dua kali dalam perlawanan itu.

“Sejujurnya kami berhak untuk menang dan pemain sudah memberikan segala-galanya di atas padang. Mereka bermain dengan baik terutamanya pada suku kedua hingga tamat perlawanan,” katanya.

Keputusan seri itu membolehkan skuad negara berada di kedudukan keempat dengan lima mata sementara lawan mereka itu selesa di tangga ketiga dan sudah mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.

“PC (pukulan sudut penalti) terakhir yang diterima Korea menjadi persoalan untuk kami mengenai keputusan pengadil, tetapi kami tidak boleh berbuat apa-apa kerana ‘umpire’ berkuasa di dalam padang dan keputusan mereka muktamad.

“Kami perlu terima dan jadikan perkara ini sebagai pengajaran untuk masa depan. Pasukan akan terus bekerja untuk persediaan bagi perlawanan seterusnya. Semua bergantung pada perlawanan antara China dan Jepun untuk kami mengetahui kedudukan terakhir kami (layak ke separuh akhir atau tidak),” katanya.

Terdahulu, skuad kendalian Sarjit gagal menggunakan segala kelebihan yang diberikan untuk layak ke separuh akhir lebih awal selepas terikat 3-3.

Dalam perlawanan itu, Speedy Tigers berjaya mendapatkan tiga jaringan menerusi Azrai Abu Kamal minit ke-28, Norsyafiq Sumantri (m-35) dan Faizal Saari (m-55) sementara skuad bimbingan Min Taeseok bijak menggunakan peluang yang diberikan menerusi pukulan sudut penalti untuk mendapatkan gol menerusi Yang Jihun (m-4, 60) dan Park Cheoleon (m-42).

Untuk rekod, skuad kendalian Sarjit hanya mampu mencatat satu kemenangan daripada lima aksi round robin, iaitu ketika menewaskan Jepun 5-4, selain mencatat dua kekalahan dan dua keputuasn seri.

Pada edisi tahun lalu, Speedy Tigers yang dibimbing Arul Selvaraj muncul sebagai naib juara selepas berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir sebelum tewas 3-4 kepada India.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top