am@hmetro.com.my
Penampang: Penganjuran Karnival UDA Bersama BizFrancais Pernas yang diadakan di Buhavan Square, Sabtu lalu menyasar jumlah jualan keseluruhan mencecah sehingga RM4.25 juta.
Ia merangkumi sasaran jualan BizFrancais Pernas berjumlah RM4 juta dan usahawan UDA Holdings Berhad (UDA) berjumlah RM250,000 sepanjang tempoh tiga hari penganjuran karnival berkenaan.
Seramai 70 usahawan tempatan dari pelbagai sektor perniagaan diketengahkan dalam karnival itu bagi tujuan memperkenalkan dan memasarkan produk masing-masing.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menyifatkan penganjuran karnival itu selaras dengan aspirasi kementerian untuk menyediakan ekosistem yang kondusif bagi menyokong pertumbuhan dan kestabilan sektor keusahawanan negara.
“Kolaborasi strategik antara UDA dan Pernas turut mencerminkan sinergi yang baik antara agensi bawah KUSKOP dalam memperkasa pembangunan usahawan tempatan yang tidak hanya tertumpu di bandar utama, sebaliknya dibawa terus ke peringkat akar umbi.
“Melalui platform seperti ini, orang ramai akan didedahkan kepada pendekatan menyeluruh merangkumi akses pasaran, jaringan strategik dan pemerkasaan jenama menerusi penglibatan KUSKOP serta agensi yang ada.
“Ini seiring dengan agenda melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing, inovatif dan mampan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan pembabitan usahawan daripada pelbagai latar belakang perniagaan dan ‘trade mix’ dalam karnival menjadikannya sebagai platform inklusif serta relevan untuk semua lapisan masyarakat.
“Kepelbagaian ini membolehkan pengunjung menikmati pelbagai tawaran produk dan perkhidmatan khususnya daripada usahawan tempatan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Karnival UDA bersama BizFrancais Pernas di sini, Sabtu lalu.
Sementara itu, Ewon turut menyatakan harapannya agar semua usahawan di seluruh negara memanfaatkan peluang yang ada menerusi penganjuran itu untuk mendapatkan maklumat dan perkhidmatan disediakan KUSKOP.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Johari Shukri Jamil berkata penganjuran yang kini memasuki edisi keempat itu antara inisiatif berterusan pihaknya menyokong agenda pemerkasaan usahawan tempatan khususnya dalam kalangan Bumiputera.
Katanya, ia bagi mengukuhkan pertumbuhan perniagaan yang mampan dan berdaya saing.
“Kami komited memastikan setiap usaha dijalankan memberi impak yang positif kepada masyarakat.
“Pendekatan ini selaras dengan prinsip penjenamaan UDA iaitu ‘L.I.F.E.’, Legasi (Legacy), Integrasi (Integrated), Ketelitian (Finesse) dan hn Memperkasa (Enrich), yang menjadi panduan dalam setiap operasi perniagaan bagi memberi manfaat menyeluruh kepada komuniti dan pembangunan negara,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) Datuk Mohamed Rozhan Mohd Ghazalli.
© New Straits Times Press (M) Bhd