Sasar loji tenaga, fasa baharu perang Timur Tengah bermula

Sasar loji tenaga, fasa baharu perang Timur Tengah bermula

Paris: Perang di Timur Tengah memasuki fasa baharu dengan serangan berkala terhadap infrastruktur tenaga penting di peringkat global.

Konflik tercetus pada 28 Februari lalu akibat pengeboman Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran kini sudah memasuki minggu keempat.

Iran menyerang infrastruktur tenaga di Teluk, manakala Israel melancarkan serangan hingga ke Laut Kaspia.

Difahamkan, Tehran berikrar membalas selepas serangan Israel pada 18 Mac, yang merosakkan medan gas South Pars yang penting untuk bekalan domestik.

Pada 20 Mac, serangan dron melanda penapisan minyak gergasi Mina Al-Ahmadi di Kuwait, sehari selepas serangan langsung terhadap kemudahan gas asli Ras Laffan di Qatar.

Iran bagaimanapun mencuba tetapi gagal menyerang pangkalan tentera gabungan United Kingdom (UK)-AS di Lautan Hindi pada 20 Mac.

Dalam pada itu Israel melaporkan, jetnya menyerang beberapa kapal tentera laut Iran di Laut Kaspia dan wilayah Noor pada 19 dan 20 Mac.

Sekatan tidak rasmi Iran terhadap Selat Hormuz dan serangan terhadap infrastruktur tenaga menaikkan harga minyak mentah melebihi AS$105 (kira-kira RM413.19) setong.

AS dan Israel meneruskan kempen untuk menyingkirkan kepimpinan Iran, termasuk membunuh ketua keselamatan negara, Ali Larijani pada 18 Mac lalu.

Media antarabangsa kemudian melaporkan, Israel mensasarkan, perubahan di Tehran manakala Presiden AS, Donald Trump memberi objektif perang yang berubah-ubah, termasuk menyingkirkan pemimpin ulama Iran.

Namun, serangan Iran terhadap negara Teluk menurun dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengesan 26 dron dan empat peluru berpandu balistik pada 20 Mac.

Dalam perkembangan lain, pembukaan semula Selat Hormuz berisiko kerana perlu mengawal empat pulau yang kini dijadikan kubu mini oleh Iran.

Susulan itu, Pentagon kemudian menghantar USS Tripoli dan sekitar 2,500 Marin ke rantau itu untuk menjamin laluan perkapalan.

Namun, konflik berpotensi melebar jika Houthi di Yaman menyertai kerana mereka boleh mengganggu perkapalan dan menyerang infrastruktur tenaga Teluk.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top