Sasaran 100 terbaik dunia bukan 'omong kosong'

Sasaran 100 terbaik dunia bukan 'omong kosong'

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sasaran 100 dunia terbaik dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bukan lagi ‘omong kosong’ apabila ia diyakini mampu diraih skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Peter Cklamovski ketika ini.

Kehadiran ramai pemain warisan dilihat mampu memberi nilai tambah buat pasukan kebangsaan yang kini dalam misi memenuhi impian itu.

Mantan Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Syed Yazid Syed Omar mengakui yakin revolusi skuad negara yang dicetuskan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bakal mencetuskan satu gelombang perubahan bukan saja kepada prestasi pasukan, malah kedudukan ranking.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) berkata, kejayaan mengikat pasukan Cape Verde yang menghuni tangga ke-72 dunia selain membelasah Vietnam (109 dunia) 4-0, membuktikan anak buah Cklamovski mempunyai kualiti dan setanding dengan negara 100 dunia ke atas.

“Saya secara peribadi menegaskan sasaran 100 dunia ke atas bukanlah mustahil untuk dicapai. Dengan kehadiran pemain warisan yang ada, ia boleh meningkatkan persembahan pasukan kita.

“Perlu diakui kualiti pemain warisan yang bermain di luar negara memang memberi nilai tambah kepada pasukan dan kejayaan menewaskan Vietnam adalah permulaannya,” katanya kepada Arena Metro.

Berdasarkan semakan akhbar ini, kedudukan tertinggi pernah dihuni skuad Harimau Malaya adalah pada 1993 ketika pertama kali FIFA memperkenalkan sistem itu.

Pada waktu itu, Malaysia menghuni tangga ke-75 dunia di bawah bimbingan Ken Worden sebelum kedudukan ranking negara perlahan-lahan merudum sehingga jatuh terperosok 175 dunia pada 2018.

Pasukan negara kemudiannya bangkit semula terutama di era Tan Cheng Hoe dan jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon yang meningkat sehingga 130 dunia.

Cklamovski yang baharu mengambil alih pasukan daripada Pan-gon awal tahun ini, dilihat berada pada landasan tepat untuk menaikkan lagi anak tangga pasukan dan kejayaan mengikat Cape Verde dan menewaskan Vietnam bakal melonjakkan lagi ranking pasukan.

Ujar Syed Yazid, kedudukan ranking penting buat skuad negara yang kini dalam misi ‘mendonia’.

“Apabila ranking kita tinggi, banyak manfaat boleh diraih antaranya akan memudahkan pasukan negara untuk merancang berdepan pasukan terbaik di dunia dan tidak lagi kita asyik nak menentang pasukan seperti Timor Leste atau dari Kepulauan Pasifik.

“Kemudian ramai pemain kita boleh tembusi liga luar kerana ada beberapa negara yang menetapkan kedudukan ranking untuk benarkan pemain luar beraksi di negara mereka.

“Paling mustahak, kita dapat kedudukan undian dalam setiap kejohanan FIFA atau AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) dalam undian mudah dan tak perlu bertemu lawan kuat di pusingan awal,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top