Satu hati satu warna, keluarga besar Muda, Khatijah raikan Aidilfitri

Satu hati satu warna, keluarga besar Muda, Khatijah raikan Aidilfitri

‎am@hmetro.com.my

‎Kuala Terengganu: Setiap kali Aidilfitri menjelang, keluarga besar ini mencuri perhatian apabila tampil berpakaian sedondon sejak lapan tahun lalu.

‎Bagi pasangan suami isteri, Muda Abdullah, 68, dan Khatijah Said, 62, tradisi berpakaian sedondon pada pagi raya bukan sekadar gaya, sebaliknya simbol kebersamaan yang mereka bina dalam keluarga.

‎Tradisi itu bermula sejak 2018 dan kekal hingga kini, menjadikan Aidilfitri lebih bermakna buat mereka sekeluarga.

‎Dalam tempoh lapan tahun, pelbagai warna dipilih sebagai tema seperti hijau zamrud, biru laut, ungu, hijau pucuk muda, kelabu lembut, merah maron, biru diraja dan jingga bata.”

Apa yang menarik, pemilihan warna bukan dibuat sewenang-wenangnya, sebaliknya mendapatkan persetujuan semua ahli keluarga melalui proses undian.

‎Menurut Muda, kaedah undi digunakan bagi memastikan tiada siapa yang terasa hati, malah semua dapat menerima keputusan dengan terbuka.

‎”Bila undi, semua puas hati. Tak ada yang rasa dipinggirkan. Walaupun warna sama, corak masing-masing pilih sendiri tetapi kalau boleh biar kain kosong, tak serabut.

‎”Bila semua pakai warna sama, nampak lebih kemas dan harmoni,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Tok Dir, di sini, hari ini.

‎Dia yang memiliki 12 anak, 10 menantu dan 30 cucu berkata, bukan mudah untuk memastikan semua dapat berkumpul dan bersetuju dalam satu perkara, namun semangat kekeluargaan mengatasi segalanya.

‎”Bila tengok semua pakai warna sama, rasa macam satu hati. Seronok tengok anak, menantu dan cucu penuh keserasian dan harmoni,” katanya.

‎Tambahnya, walaupun perlu berbelanja lebih untuk menyediakan kelengkapan Aidilfitri termasuk pakaian dan duit raya, dia tidak pernah menganggapnya sebagai beban.

‎”Memang habis duit sikit, tapi tak apa. Kepuasan itu bila tengok keluarga gembira,” katanya.

‎Sebagai ketua keluarga, dia mengakui kebahagiaan sebenar bukan terletak pada kemewahan, tetapi pada hubungan erat sesama ahli keluarga.

‎”Bila pagi raya tengok semua gelak ketawa, rasa macam tak ada masalah. Itu yang kita nak.

‎”Ada yang cakap hebat sebab semua boleh pakai warna sama. Bukan senang nak capai persefahaman begitu,” katanya.

‎Selain tradisi pakaian sedondon, keluarga itu turut mengekalkan menu wajib Aidilfitri iaitu gulai kambing yang dimasak sendiri setiap tahun sejak lebih 20 tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top