Satu Pemimpin Satu Kampung promosi konsep Malaysia Madani

Satu Pemimpin Satu Kampung promosi konsep Malaysia Madani

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 700 peserta menyertai Program Satu Pemimpin Satu Kampung – Santuni Madani dan Misi Jelajah Peduli Ummah: Sejahtera Insan Al-Falah di Kampung Parit 5 dan Parit 6, Sungai Besar, bermula semalam hingga hari ini.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dalam kenyataan, berkata objektif utama program untuk merapatkan silaturahim antara masyarakat di Selangor bersama kepimpinan agensi di peringkat Persekutuan.

“Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program berlangsung, antaranya Program Zikir Munajat dan Subuh Macam Jumaat, Forum Ehwal Islam, Kursus Pengurusan Jenazah, Liga Penalti Bola Sepak, Pameran Pelbagai Agensi, Klinik al-Quran, dan Kem Jati Diri Pelajar Cemerlang.

“Program ini dapat memasyarakatkan serta mempromosikan konsep Malaysia Madani melalui pelbagai aktiviti yang berperanan sebagai satu medium perpaduan ummah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, majlis perasmian dan penutup disempurnakan oleh Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Negeri Selangor, Datuk Rizam Ismail yang disaksikan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM Kolonel Datuk Mohd Ajib Ismail.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Operasi JAWI, Kamaldin Mohd Damin, Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr Ahmad Sani Araby Al Kahery dan Pegawai Daerah Sabak Bernam, Ali Sadikin Sadin.

Jawi berkata, keseluruhannya penganjuran program itu membabitkan tajaan daripada pelbagai pihak.

“Program menerima sumbangan antaranya daripada Yayasan Taqwa dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP serta sektor korporat.

Program berkenaan antara lain diadakan untuk membantu golongan memerlukan serta surau yang terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top